DAPSY bantah cadangan Dr Akmal laksana semula GST

SHAH ALAM - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) membantah cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di negara ini.
Setiausaha Kebangsaan DAPSY, Lim Chun Weng berkata, GST tidak sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia buat masa sekarang.
Menurutnya, ini kerana pendapatan rakyat Malaysia masih rendah.
"Ya benar, GST merupakan sistem cukai yang lebih berkesan dan adil kerana tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada membayar cukai ini namun ia merupakan 'regressive tax' di mana akan wujud keadaan individu yang berpendapatan rendah akan membayar bahagian lebih besar daripada berpendapatan tinggi.
"RM100 daripada golongan pendapatan rendah adalah lebih tinggi nilainya. Untuk makluman semua, gaji median rakyat Malaysia pada waktu ini adalah RM2,844 sahaja.
"Hanya 16.5 peratus rakyat Malaysia mampu membayar cukai pendapatan dan lebih daripada 60 peratus menerima pelbagai bantuan daripada kerajaan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR)," ujar dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Chun Weng, 'take home pay' golongan berpendapatan rendah lebih rendah berbanding berpendapatan tinggi.
"Hal ini bermakna dari segi liquiditi kewangan mereka adalah lebih rendah, kehidupan akan terjejas kalau cukai dikenakan kepada mereka.
"Sekiranya barangan dikenakan cukai, maka ia akan menyebabkan rakyat kurangkan pembelian sejurusnya menjejaskan ekonomi tempatan yang beransur pulih dari wabak Covid-19," katanya.
Chun Weng memberitahu, misi utama kerajaan buat masa ini adalah menambah pendapatan rakyat Malaysia.
Katanya, kerajaan terlebih dahulu perlu memastikan pendapatan rakyat dinaikkan sebelum sebarang cukai baharu dikenakan kepada mereka.
“Usaha sedia ada kerajaan adalah menaikkan kemampuan ekonomi negara dan pendapatan rakyat Malaysia.
“Antara usaha yang dibuat oleh Kerajaan Madani adalah menaikkan gaji pekerja sektor awam dan gaji minima. Pada masa sama kita melancarkan dasar dan perancangan ekonomi seperti 'Johor Singapore Special Economic Zone' bagi menarik pelaburan berkualiti serta wujudkan pekerjaan pendapatan tinggi.
“Inilah reformasi ekonomi yang kita bawa bagi meningkatkan pendapatan negara. Kenakan cukai merupakan perkara paling mudah untuk menjana pendapatan tetapi Kerajaan Madani prihatin memilih jalan susah tetapi senangkan rakyat," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

