Titah Adendum: AGC fail notis usul dapatkan kebenaran merayu

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Selasa memfailkan notis usul bagi mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya berhubung isu Titah Adendum.
AGC dalam satu kenyataan berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan semua hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Menurut kenyataan tersebut, keputusan untuk memfailkan usul berasaskan kepada beberapa premis penting termasuk percanggahan dalam tafsiran undang-undang.
Jelasnya lagi, terdapat percanggahan pandangan antara keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan penghakiman majoriti serta minoriti di Mahkamah Rayuan.
“Perkara ini menimbulkan keperluan untuk mendapatkan kepastian dan undang-undang yang jelas daripada Mahkamah Persekutuan.
“Isu yang dibangkitkan melibatkan persoalan undang-undang signifikan dan mempunyai kepentingan awam wajar dibicara serta diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara,” katanya pada Rabu.
AGC berpandangan, langkah memfailkan notis usul bagi mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan penting agar keadilan diperoleh dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Ia juga menegakkan prinsip keluhuran perlembagaan serta memperjelaskan tafsiran undang-undang bagi manfaat semua pihak,” ujar kenyataan itu lagi.
Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman sebelum mantan ahli Parlimen Pekan itu merayu keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sekadar khabar angin serta tidak boleh diterima sebagai bukti.
Pada 6 Januari lalu, Najib mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi sebagai satu perintah untuk memaksa kerajaan atau pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Ia dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.
Penghakiman majoriti terbabit turut membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum bagi menyokong semakan kehakimannya itu.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan bersalah atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib.
Namun, hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun penjara, manakala denda hanya RM50 juta susulan petisyen pengampunan diraja yang difailkan pada 2 September 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

