Pencapaian terbesar sekat rakyat Kelantan berhibur di Golok - Polis

KOTA BHARU - Polis Kelantan berjaya menangani 90 peratus aktiviti dan jenayah rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok sejak penguatkuasaan itu dilaksanakan pada 1 Disember lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ia merupakan pencapaian terbesar disamping menyekat rakyat negeri ini daripada berhibur di Golok, Thailand sehingga mendedahkan mereka kepada penyalahgunaan dadah.
"Kita bimbang jika mereka (rakyat) berhibur di sana, akan ada pengambilan dadah di mana pengakhirannya jadi penagih.
"Dengan sekatan ini, saya tengok sendiri di Golok permintaan terhadap penginapan hotel serta pusat hiburan menurun mendadak," katanya semasa sidang akhbar ketika Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, pengawalan ketat tetap diteruskan melibatkan pengawasan di Sungai Golok sepanjang 106 kilometer dari Tumpat ke Rantau Panjang.
Selain menyekat pergerakan rakyat di negeri ini daripada berhibur di negara jiran, ia juga dilihat mengekang aktiviti penyeludupan termasuk barangan kawalan, kontraban, dadah serta pemerdagangan manusia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

