Masalah jenayah di Kelantan berpunca daripada dadah - Polis

KOTA BHARU - Polis Kelantan menjadikan operasi membanteras pengedaran dan penagihan dadah sebagai jihad.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, beliau percaya sekiranya masalah itu berjaya diselesaikan kadar jenayah di negeri ini akan berkurangan.
"Hasil pemantauan selama 100 hari melaksanakan tugas sebagai Ketua Polis Kelantan saya dapati masalah jenayah negeri ini berpunca daripada penyalahgunaan dadah.
"Maklumat ini hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek yang ditangkap selepas terlibat dengan jenayah," katanya semasa sidang akhbar ketika ditemui semasa Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.
Menurut beliau, melihat kepada perkara itu operasi memerangi dadah perlu dilaksanakan.
"Jika masalah dadah berjaya diselesaikan secara asasnya kadar jenayah akan berkurangan.
"Pil kuda atau yaba antara dadah yang paling banyak disalahgunakan di negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

