Projek ECRL capai kemajuan 78.5 peratus

Amir Hamzah (tengah) menunjukkan buku laporan majlis pelancaran laporan impak terkini Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi Projek ECRL di tapak projek ECRL Seksyen 10 pada Selasa. Foto SINAR HARIAN
Amir Hamzah (tengah) menunjukkan buku laporan majlis pelancaran laporan impak terkini Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi Projek ECRL di tapak projek ECRL Seksyen 10 pada Selasa. Foto SINAR HARIAN
A
A
A

KUANTAN - Status kemajuan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor kini mencapai tahap 78.5 peratus setakat Januari.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tahap kemajuan yang meyakinkan ini selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL fasa pertama dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada Disember tahun lalu dan beroperasi bermula Januari 2027.

Menurutnya, jajaran fasa kedua antara Gombak dan Pelabuhan Klang di Selangor akan disiapkan menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.

"Projek ini adalah projek mega yang melibatkan kerjasama ramai pihak. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company (CCCC) atas usaha mereka dalam memastikan kemajuan projek ini berjalan lancar.

"Insya-ALLAH, kita akan menyiapkan projek ini pada penghujung tahun depan dan mula beroperasi pada Januari 2027.

"Seperti yang dikatakan oleh Datuk Seri Darwis Abdul Razak (Ketua Pegawai Eksekutif MRL), mereka yang ingin pulang ke kampung untuk beraya dua kali lagi selepas ini, akan dapat menikmati perjalanan menggunakan ECRL," katanya.

Amir Hamzah (tengah) melancarkan
laporan impak terkini Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi Projek ECRL di tapak projek ECRL Seksyen 10 pada Selasa. Foto SINAR HARIAN.
Amir Hamzah (tengah) melancarkan laporan impak terkini Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi Projek ECRL di tapak projek ECRL Seksyen 10 pada Selasa. Foto SINAR HARIAN.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran laporan impak terkini Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi Projek ECRL di tapak projek ECRL Seksyen 10 di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Amir Hamzah memberitahu, ECRL bukan sekadar projek pengangkutan, tetapi juga pemangkin kepada pembangunan ekonomi di negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu, dan Pahang.

Kataya, ia dijangka menarik lebih banyak pelaburan ke kawasan ini dan mewujudkan peluang ekonomi yang lebih luas kepada penduduk setempat.

"Jika sebelum ini pembinaan lebuh raya telah merancakkan ekonomi di Pantai Barat, diharapkan ECRL dapat memberikan impak yang sama kepada Pantai Timur dan meningkatkan daya saing wilayah tersebut," ujarnya.

Menjawab cadangan pembinaan ECRL ke Johor, Amir Hamzah menjelaskan, buat masa ini belum ada keperluan untuk menyambungkan projek tersebut ke negeri itu.

Katanya, laluan antara Lembah Klang dan Johor sudah dilengkapi dengan projek landasan berkembar yang menghubungkan Kuala Lumpur Sentral dan Johor Sentral, sekali gus memenuhi keperluan pengangkutan rel di kawasan tersebut.

"Buat masa ini dari Lembah Klang ke Johor, kita tengah buat 'double tracking'... jadi, kita habiskan (siapkan) dulu 'double tracking'.

"Saya rasa perkara utama kita habiskan (siapkan) projek ini (ECRL) dulu, kita operasikan projek ini dulu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!