Lagi insiden lemas di Port Dickson, kes babit lelaki berusia 20 tahun

PORT DICKSON - Seorang lelaki ditemui lemas sebaik dilaporkan hilang ketika berenang dalam kejadian di Pantai Batu 2, di sini pada awal pagi Jumaat.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Kemang, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB) Mohd Kamal Mohd Timar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 6.31 petang Khamis.
"Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson dan Teluk Kemang termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikejarkan ke lokasi bagi mengesan mangsa yang dipercayai lemas.
"Setibanya di lokasi kejadian didapati seorang mangsa lelaki berbangsa India berusia 20 tahun telah berenang dalam jarak lebih 60 meter dari pantai dan dikhuatiri lemas," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya, operasi mencari mangsa dilakukan oleh anggota PPDA di lima sektor pencarian.
"Pada jam 12.50 pagi, unit PPDA dari Sektor C telah menjumpai mangsa dalam lingkungan jarak 250 meter dari pesisiran pantai," katanya.
Ujar Mohd Kamal, mangsa berjaya di bawa naik ke darat untuk pengecaman identiti mangsa pada jam 1 pagi dan mangsa dikenali sebagai M R Vishhvaruben.
Menurutnya, pasukan perubatan mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Media sebelum ini melaporkan percutian sekumpulan pekerja dari Klang, Selangor bertukar tragedi apabila seorang daripadanya ditemukan lemas ketika mandi-manda di Pantai Batu 5, dekat sini pada Rabu.
Mayat lelaki warga Pakistan berusia 20-an yang juga pekerja bengkel itu ditemukan selepas polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 12.20 tengah hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
