Lelaki hilang sejak Khamis ditemui lemas di Sungai Perak

PARIT - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ditemui meninggal dunia dipercayai akibat lemas di Sungai Perak di Kampung Changkat Perah di sini, pada Sabtu.
Rosidi Nor, 43, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pada jarak 3 kilometer dari lokasi mangsa terjatuh pada jam 4.10 petang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, laporan kehilangan mangsa diterima Balai Bomba dan Penyelamat Parit jam 10.40 malam pada Jumaat.
Menurutnya, mangsa yang dilaporkan mengalami masalah mental itu pada mulanya disyaki hilang dalam hutan, namun hasil pencarian dilakukan gagal menemui sebarang petanda.

"Mangsa disyaki telah menuju ke arah Sungai Perak berikutan penemuan kasut mangsa di tebing sungai pada pagi tadi.
"Ketua Operasi kemudiannya mengarahkan anggota membuat pencarian di sungai.
"Operasi digerakkan menggunakan bot aluminium dari Balai Bomba dan Penyelamat Parit, Seri Iskandar dan bot polis dengan melakukan surface searching sehingga mayat mangsa dijumpai," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Kawalan Bomba untuk pengecaman sebelum diserahkan kepada polis.
Katanya, operasi turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar serta Pulau Pangkor dan Unit Pengsan (K9).
"Operasi disertai 23 anggota itu tamat pada jam 5.30 petang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!