Beg berisi wang tunai RM500,000 diserahkan kepada pemilik

SHAH ALAM - Beg berisi wang tunai RM500,000 yang ditemui seorang pengawal keselamatan di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya pada Mac tahun lalu telah diserahkan kepada pemiliknya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, wang tunai berkenaan diserahkan kepada individu yang merupakan pemilik sebuah syarikat.
"Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan wang dan beg itu dikembalikan kepadanya melalui perintah mahkamah yang mana ia sudah diserahkan pada pertengahan November lalu.
"Kes ini dianggap selesai dengan penyerahan wang tunai berkenaan," katanya pada Selasa.
Pada 19 Mac tahun lalu, pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah menemui bagasi berisi wang tunai berjumlah RM500,000 yang ditinggalkan di parkir sebuah pusat beli-belah di Damansara.
Pengawal keselamatan berkenaan kemudian membuat laporan polis berkaitan penemuan bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana pada jam 8 pagi.
Media kemudiannya melaporkan polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) namun fasiliti berkenaan tidak memfokus ke arah lokasi bagasi ditemukan.
Polis meminta pemilik bagasi tampil berserta bukti jika ingin menuntut wang berkenaan.
Susulan itu, polis menerima laporan daripada sebuah syarikat yang mendakwa bagasi berkenaan milik mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

