Exco Pemuda UMNO cabar Teik Cheng berdebat

SHAH ALAM - Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Ghazali mencabar Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng untuk berdebat berhubung dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menimbulkan kebencian orang bukan Melayu.
Wan Muhammad Zuhir berkata, Teik Cheng perlu nyatakan secara objektif kenyataan yang menunjukkan Dr Akmal perlu muhasabah atau sebenarnya MCA yang perlu bermuhasabah?
"Wahai tuan Naib Presiden MCA, kalau anda betul-betul berpegang dengan pendirian yang Dr Akmal perlu muhasabah dan menimbulkan kebencian kepada bukan Melayu, saya menjemput tuan Teik Chen untuk bersemuka dalam satu debat terbuka.
"Saya sedia, kalau tiada tempat, beritahu awal," katanya menerusi laman Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, Teik Cheng berkata, Dr Akmal harus merenung mengenai hal orang bukan Melayu berpandangan negatif terhadapnya.
Jelasnya, kata-kata dan tindakan Dr Akmal telah berulang kali mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.
Menurut Wan Muhammad Zuhir, beliau tidak kisah sekiranya mahu memperjuangkan hak masyarakat Cina.
"Dipersilakan, lawan secara budiman. Jangan telunjuk lurus kelingking berkait, api dalam sekam.
"Depan Melayu lain, depan Cina lain. Tulis pun bukan dalam bahasa kebangsaan. Apa yang anda harapkan?
"Taktik politik seperti ini bukan baharu. Ini sebab pengaruh MCA semakin merosot, dua kerusi Parlimen pun bergantung pada kawasan majoriti Melayu," ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

