X

Kindly register in order to view this article
!

Mat Sabu nafi sebar perbincangan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH

x-default
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) kepada mana-mana pihak.

Setiausaha Politik Presiden Amanah, Mohd Azhar Mat Dali berkata, Mat Sabu sentiasa menjunjung tinggi prinsip kerahsiaan mesyuarat dan tidak menyebarkan sebarang butir-butir perbincangan berkaitan mesyuarat malam semalam kepada khalayak mahupun media.

"Sehubungan itu, sekali lagi ingin ditegaskan bahawa pihak Mat Sabu adalah tiada kaitan sama sekali dengan cerita-cerita dan spekulasi yang disebarkan tersebut," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan yang disiarkan oleh sebuah portal berita yang mendakwa dua sumber yang rapat dengan pemimpin dalam mesyuarat itu berkata, Mat Sabu dikatakan tidak gentar dengan amaran daripada pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengugut untuk keluar daripada gabungan itu sekiranya mereka terus mendesak Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad lepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Sumber itu mendakwa, Mohamad Sabu berkata, tidak ada masalah sekiranya mereka kembali menjadi pembangkang semula sekiranya gabungan itu berpecah.

Semalam pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu berakhir, Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau akan membuat keputusan untuk melakukan peralihan kuasa selepas Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di ibu negara pada November depan.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Ser Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

ARTIKEL BERKAITAN Peralihan kuasa terpulang kepada saya, kata Tun M