'Ramai makan hati kompaun parkir terlalu tinggi'

Pengguna di sekitar Kuantan mengeluh dengan kadar kompaun bagi kesalahan letak kereta yang dianggap terlalu tinggi dan tidak munasabah. FOTO SINAR HARIAN.
Pengguna di sekitar Kuantan mengeluh dengan kadar kompaun bagi kesalahan letak kereta yang dianggap terlalu tinggi dan tidak munasabah. FOTO SINAR HARIAN.
A
A
A

KUANTAN - Pengguna meluahkan rasa kecewa terhadap sebuah syarikat pengendali tempat letak kereta di sekitar daerah ini kerana mengeluarkan kompaun yang didakwa tidak masuk akal.

Mereka mendakwa, kadar RM30 dikenakan terlalu tinggi, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah yang bergantung kepada kawasan parkir awam untuk urusan harian.

Keadaan semakin membebankan apabila selepas tempoh sebulan, kadar kompaun itu akan meningkat 10 kali ganda sehingga mencecah RM300.

Tukang sapu, Siti Huda Ghani, 33, berkata, kadar kompaun itu terlalu mahal dengan tempoh pembayaran yang singkat kerana jumlahnya naik dengan melampau dan tidak munasabah.

Menurutnya, pendapatan hariannya tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas, apatah lagi mahu membayar denda parkir yang tinggi.

"Sehari saya hanya peroleh sekitar RM35 dan apabila dikenakan kompaun sebanyak RM30, ia ibarat merampas separuh daripada rezeki saya untuk satu hari.

"Saya faham tindakan ini untuk mendisiplinkan pengguna, tetapi kadar yang dikenakan perlu lebih bersesuaian tanpa membebankan orang ramai," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Ibu kepada tiga anak itu berharap pihak yang menguruskan parkir di seluruh Bandaraya Kuantan dapat menilai semula kadar tersebut supaya lebih munasabah.

"Jika dibandingkan dengan beberapa bandar lain di negeri-negeri lain, kadar kompaun di sini lebih mahal, walhal mereka mengenakan kompaun lebih rendah untuk kesalahan parkir.

Artikel Berkaitan:

"Diharap kajian semula dapat dilakukan untuk mewujudkan sistem yang lebih mesra rakyat, terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini," luahnya.

Kadar kompaun akan meningkat 10 kali ganda selepas gagal dijelaskan dalam tempoh 30 hari.
Kadar kompaun akan meningkat 10 kali ganda selepas gagal dijelaskan dalam tempoh 30 hari.

Pesara, Zalani Atan, 64, pula berpandangan, kadar kompaun yang dikenakan itu tidak seimbang dengan kemampuan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

"Sebagai pesara, saya tiada pendapatan harian dan kadar kompaun yang tinggi ini memberi tekanan kepada saya.

"Saya berharap pihak berkenaan dapat mencari alternatif lain seperti memberikan amaran terlebih dahulu atau mengenakan kadar lebih rendah untuk kesalahan pertama seperti RM10 dengan tempoh tujuh hari," katanya.

Sementara itu, pengawal keselamatan, Mat Daud Kahar, 36, berkata, syarikat pengendali parkir hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan kesulitan yang dihadapi pengguna.

"Ramai yang makan hati dengan syarikat parkir ini. Langsung tiada timbang rasa... yang mereka tahu hanya duit," ujarnya.

Menurutnya, ada pengguna terpaksa bekerja keras untuk menampung kehidupan, tetapi terbeban dengan caj parkir dan kadar kompaun yang tinggi.

"Memang kais pagi makan pagi. Bila dikenakan kompaun sehingga RM300 dan selepas membuat rayuan hanya dikurangkan kepada RM100, saya tetap tak mampu bayar kerana gaji sehari hanya RM70," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!