Banjir: King Sing akui tidak menang tangan bantu penduduk Bintulu

King Sing berkata, banjir yang berlaku terlalu besar hingga beliau dan pasukannya telah tidak menang tangan dalam membantu penduduk Bintulu dan kawasan Dewan Undangan Negeri Dudong.
"Banjir ini menjejaskan banyak kawasan dan ramai mangsa. Kami tidak menang tangan, keletihan dan ada kalanya hilang arah,” katanya menerusi Facebook pada Ahad.
Beliau turut memohon maaf kepada penduduk kerana tidak dapat membalas ucapan Tahun Baharu Cina dan mesej-mesej prihatin berkaitan bencana itu secara peribadi.
"Saya telah menerima semua ucapan berkenaan serta amat menghargai keikhlasan dan kebaikan yang diberikan,” katanya sambil menambah berkat doa orang ramai memberikan beliau kekuatan dan dorongan untuk menangani segala cabaran.
King Sing yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya telah ‘mengorbankan’ sambutan Tahun Baharu Cina dengan turun padang ke kawasan terjejas bersama-sama pasukan penyelamat bagi membantu mangsa banjir.
Gambar memaparkan King Sing yang memakai kemeja-T dan seluar pendek dalam keadaan basah kuyup dan sejuk ketika membantu mangsa banjir di kawasannya tular menerusi media sosial.
Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak, tindakan itu dilihat sekadar sebagai lakonan oleh King Sing, yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) untuk meraih populariti.
Ramai juga yang menangkis dakwaan itu dengan mengatakan King Sing dikenali disebabkan hubungan rapat beliau dengan rakyat selain sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu mereka.
"Anda Ahli Parlimen terbaik yang saya kenali dan Bintulu memiliki Datuk Seri Tiong King Sing... Semoga Tuhan sentiasa memberkati anda,” kata Saharudeen Taha dalam hantaran menerusi Facebook.
Royston Sim dalam hantaran menerusi platform sama pula menyifatkan penduduk Bintulu bertuah kerana memiliki Ahli Parlimen yang prihatin seperti King Sing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
