JPA sudah mulakan pertukaran petugas kaunter - KSN

BANGI - [DIKEMAS KINI] Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah melaksanakan sistem penggiliran kerja bagi penjawat awam yang telah berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan bermula Januari lalu.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, langkah itu bertujuan memastikan keberkesanan perkhidmatan awam serta mengelakkan keletihan atau kebosanan dalam kalangan kakitangan yang bertugas di barisan hadapan.
"Sistem penggiliran ini telah bermula dan sudah banyak pergerakan dilakukan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya. Pegawai yang telah berkhidmat lebih lima tahun di sesuatu jawatan akan diberikan penempatan baharu bagi meningkatkan kepakaran serta pengalaman mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri KSN Unplugged bersama Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara Malaysia (Ansara) 2025 di German-Malaysian Institute, di sini pada Ahad.
Jelasnya, JPA telah mengambil kira pelbagai aspek sebelum memulakan sistem itu termasuk memastikan proses perpindahan dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan gangguan kepada perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.
“Kami tidak mahu berlaku sebarang gangguan dalam operasi perkhidmatan awam. Oleh itu, sistem penggiliran ini dilaksanakan secara berperingkat dan tertumpu kepada mereka yang telah lama berada di posisi tertentu," katanya.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa inisiatif itu sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menambah baik mutu perkhidmatan awam dan meningkatkan kecekapan pegawai kerajaan.

Ujarnya, kerajaan berhasrat meningkatkan tahap perkhidmatan awam Malaysia setanding dengan negara maju seperti Korea Selatan dan Singapura.
"Kita lihat Singapura berada di kedudukan teratas dalam ranking perkhidmatan awam. Korea Selatan pula berada di kedudukan ke-15. Jadi, sasaran kita adalah untuk mencapai tahap terbaik sekurang-kurangnya setanding dengan Korea Selatan," katanya.
Sebelum ini, beliau memaklumkan pelaksanaan pusingan kerja itu dijangka bermula secara berperingkat dalam tempoh satu atau dua bulan dan akan melibatkan jabatan serta agensi berkaitan.
Menurutnya, ia adalah bagi memastikan petugas diberi peluang menjalani tugas-tugas yang lebih pelbagai supaya mereka dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, terutamanya menjelang peperiksaan kenaikan pangkat.
Sementara itu, Shamsul Azri turut mengulas mengenai pelancaran direktori tenaga pakar Ansara yang bertujuan mengumpulkan bekas pelajar MRSM dalam pelbagai bidang kepakaran.
“Ansara telah wujud selama 32 tahun dan kini mempunyai lebih 209,181 bekas pelajar. Sekiranya 10 peratus daripada mereka adalah pakar dalam bidang masing-masing, kita mempunyai lebih 20,000 tenaga pakar yang boleh menyumbang kepada negara," ujarnya.
Beliau berkata, direktori itu akan menghimpunkan maklumat berkaitan kerjaya, pengalaman, serta bidang kepakaran ahli Ansara, yang kemudiannya akan dikategorikan mengikut kluster sains, teknologi dan pengurusan.
“Kita mahu tenaga pakar ini memberi nasihat kepada Ansara sendiri dan turut menyumbang idea kepada kerajaan untuk pembangunan negara," katanya.
Ujarnya, selain memberi sumbangan kepada pembangunan negara, tenaga pakar ini juga akan memainkan peranan dalam membimbing generasi baharu pelajar MRSM yang kini sedang melanjutkan pelajaran.
"Bagi pelajar-pelajar baharu, kita akan adakan sesi motivasi. Manakala bagi mereka yang telah bekerja atau berniaga, kita akan bantu mereka untuk terus maju dalam kerjaya dan perniagaan," jelasnya.
Beliau dalam pada itu turut mengalu-alukan minat masyarakat terhadap nombor pendaftaran khas ANSARA yang dibuka untuk bidaan melalui e-bidding Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 3 Februari.
"Nombor pendaftaran khas ini dibuka kepada semua, tetapi sudah tentu bekas pelajar MRSM diberi keutamaan. Kita percaya ada yang meminati nombor ini sebagai tanda kebanggaan kepada Ansara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

