12 syor jadikan KL bandar inklusif, lestari dan sejahtera - Lam Thye

SHAH ALAM - Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat mengemukakan 12 langkah untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar yang inklusif, lestari dan sejahtera untuk seluruh masyarakat bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-51.
Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, Kuala Lumpur bukan sahaja perlu menjadi pusat pertumbuhan ekonomi, namun bandar yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, alam sekitar dan generasi akan datang.

Menurutnya, antara cadangan tersebut adalah menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik, merancang pembangunan bandar yang tidak meminggirkan golongan tertentu serta memperbaiki aksesibiliti bagi orang kurang upaya (OKU) di tempat awam termasuk sistem pengangkutan.
"Selain itu, memperkukuhkan keharmonian antara kaum dan budaya melalui inisiatif perpaduan masyarakat serta dasar yang mencerminkan kepelbagaian.
"Berikan juga peranan yang lebih besar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan komuniti dalam membuat keputusan berkaitan pembangunan bandar.
"Syor lain termasuk memperluas dan mengekalkan lebih banyak kawasan hijau seperti taman awam dan hutan bandar bagi meningkatkan kualiti udara serta menyediakan ruang rekreasi untuk penduduk," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Untuk rekod, Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Februari setiap tahun di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Susulan itu, sebanyak 72,000 bendera Wilayah Persekutuan telah diedarkan bersempena dengan sambutan tersebut.
Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, pihak berwajib perlu menambah baik sistem pengangkutan awam untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pelepasan karbon, termasuk memperbaiki sambungan 'first-mile' serta 'last-mile'.
"Menguatkuasakan juga dasar yang lebih ketat dalam pengurangan sisa, galakan kitar semula dan peralihan ke arah ekonomi kitaran.
"Langkah lain termasuk memperkukuh daya tahan bandar terhadap perubahan iklim dengan menangani masalah banjir kilat, memperbaiki sistem saliran, kawasan tadahan air dan menggalakkan reka bentuk bandar yang mesra alam.
"Dalam meningkatkan kualiti hidup, pihak berwajib wajar mengambil langkah mengurangkan kesesakan lalu lintas melalui sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan infrastruktur mesra pejalan kaki," ujarnya.
Tambah Lam Thye, keselamatan bandar juga harus ditingkatkan dengan pencahayaan jalan lebih baik, program pencegahan jenayah dan inisiatif kepolisan komuniti.
"Menggalakkan juga ekonomi kreatif dan budaya dengan menyokong perniagaan tempatan, pemuliharaan warisan, dan inisiatif seni awam.
"Pihak berwajib juga boleh melabur dalam keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan dengan memastikan kemudahan kesihatan awam lebih baik, sokongan kesihatan mental serta mempromosikan keselamatan pekerjaan dan gaya hidup aktif.
"Kuala Lumpur mesti bergerak ke hadapan dengan visi yang berani, berpandangan jauh, dan berpusat kepada kepentingan rakyat dengan menjadikannya bukan sahaja bandar bertaraf dunia tetapi mesra rakyat, hijau serta berkembang maju untuk generasi akan datang," ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
