Wajar sokong sistem penilaian prestasi penjawat awam demerit - Lam Thye

SHAH ALAM - Inisiatif kepada pengenalan sistem penilaian prestasi berasaskan demerit untuk meningkatkan akauntabiliti dan kecekapan dalam kalangan penjawat awam kanan merupakan satu langkah yang wajar disokong.
Pengerusi Perikatan Untuk Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pengenalan sistem tersebut merupakan langkah penting ke arah memastikan penjawat awam terutama ketua jabatan dapat diberikan penilaian dengan teliti, memandangkan peranan kritikal mereka dalam melaksanakan dasar kerajaan dan memantau projek yang dilaksanakan.
“Penting untuk pihak pengurusan mempunyai satu mekanisme menilai prestasi penjawat awam. Ini kerana mereka bertanggungjawab menyampaikan aspirasi rakyat dan memastikan projek yang dirancang dapat berjalan seperti dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, ketua jabatan termasuk ketua setiausaha (KSU) kementerian yang gagal dalam Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) bakal berdepan tindakan tatatertib lebih tegas termasuk sekatan gaji tahunan, kenaikan pangkat dan dipindah ke jabatan lain.
Kata beliau, sistem akan dilaksana sepenuhnya pada 2025 bukan bertujuan menghukum penjawat awam tetapi lebih bersifat progresif dan adil kerana penilaian dilakukan secara bulanan berbanding kaedah pelaporan penilaian secara tahunan sebelum ini.
Dalam pada itu, Lam Thye menjelaskan, sistem yang dilancarkan pada 1 Januari lepas menggunakan konsep ‘demerit dan remerit’ berdasarkan tiga dimensi prestasi iaitu Generik (75 peratus), Fungsian (15 peratus) serta Tinjauan (10 peratus).
“Ia susulan isu yang sentiasa berterusan wujud seperti ketirisan diketengahkan dalam laporan tahunan Ketua Audit Negara mesti ditangani, sejajar dengan keperluan untuk penjawat awam beroperasi dengan cekap dan berintegriti.
“Penguatkuasaan adalah satu lagi bidang yang memerlukan penambahbaikan. Kita mempunyai banyak undang-undang di negara ini, tetapi penguatkuasaan masih tidak mencukupi.
“Penjawat awam mesti melaksanakan tugas mereka dengan penuh integriti terutama yang menjalankan peranan penguatkuasaan,” ujarnya.
Menurut beliau, pengenalan segara Akta Ombudsman sangat diperlukan untuk melengkapkan sistem penilaian.
Tambah Lam Thye, tugas seorang Ombudsman adalah untuk menangani rungutan berkaitan penyelewengan dan ketidakcekapan perkhidmatan awam secara berkesan.
“Sistem Ombudsman telah terbukti berkesan di banyak negara dalam menangani aduan awam mengenai pegawai kerajaan. Walaupun kita mempunyai Biro Pengaduan Awam, ia bukanlah saluran paling berkesan untuk menyelesaikan rungutan.
“Orang ramai menaruh harapan tinggi terhadap penjawat awam, menteri dan ahli politik mungkin datang serta pergi, tetapi penjawat awam kekal berkhidmat selagi mereka diperlukan.
“Kecekapan dan integriti mereka adalah kunci untuk memastikan kerajaan menunaikan janjinya,” katanya.
tamat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
