Penganggur dipenjara 12 tahun bakar lima buah motosikal di Kupang

BALING - Seorang penganggur dihukum 12 tahun penjara di Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan membakar motosikal di Kupang antara Disember 2024 hingga 2 Januari lalu.
Hukuman itu diperintahkan Hakim Najwa Che Mat ke atas tertuduh, Afif Jazimin Jamaludin, 23, dari Kampung Pisang dengan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melalukan khianat api dengan membakar motosikal jenis Modenas Kris, SM Sport dan Honda EX5 milik penduduk di Kampung Pisang, jam 3.30 pagi pada 24 Disember lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama apabila membakar motosikal jenis Honda EX5 di Kampung Jerai pada 27 Disember dan Modenas Kriss di Kampung Hangus pada 2 Januari lalu bagi pertuduhan ketiga.
Berikutan itu dia didakwa bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 14 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nursyafina Baharudin.
Dalam rayuan, Intan Nursyafina memohon agar hukuman penjara paling minimum dikenakan memandangkan tertuduh masih bujang dan merupakan anak sulung daripada empat beradik serta masih tinggal bersama ibu bapa yang berusia 43 dan 52 tahun.
Menurutnya, pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah selain meminta agar hukuman bagi ketiga-tiga pertuduhan berjalan serentak bermula dari tarikh ditangkap.
Bagaimanapun, Hakim Najwa mengarahkan tertuduh dikenakan empat tahun penjara bagi setiap pertuduhan dan hukuman berjalan secara berasingan dari tarikh ditangkap.
Dalam pada itu, tertuduh kelihatan tenang dan bersahaja ketika dibawa keluar diiringi anggota polis ke kenderaan sebaik sahaja selesai pertuduhan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan berlaku kebakaran secara berturut-turut di Kupang yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk sejak Disember tahun lalu.
Suspek yang disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya sembilan kejadian kebakaran, bagaimanapun berjaya ditangkap polis pada 20 Januari lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dalam kenyataan sebelum ini berkata, siasatan dilakukan mendapati suspek mengaku membakar rumah dan 18 motosikal dengan nilai kerugian dianggarkan RM770,000.
Dia dilaporkan bertindak demikian dipercayai bermotifkan dendam akibat sering dibuli di tempat kerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

