Lawatan ke Australia perkukuh sektor pertanian, penternakan, perikanan Pahang

Wan Rosdy meninjau salah satu ladang ternakan lembu berkualiti tinggi sempena Lawatan Teknikal Penandaarasan Sektor Pertanian, Penternakan dan Perikanan Negeri Pahang ke Australia. Foto FB Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy meninjau salah satu ladang ternakan lembu berkualiti tinggi sempena Lawatan Teknikal Penandaarasan Sektor Pertanian, Penternakan dan Perikanan Negeri Pahang ke Australia. Foto FB Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Enam Memorandum Persefahaman (MoU) berjaya dimeterai sepanjang Lawatan Teknikal Penandaarasan Sektor Pertanian, Penternakan dan Perikanan Negeri Pahang ke Australia bermula 28 Januari lalu hingga 4 Februari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antaranya, MoU kerjasama strategik pembangunan industri daging wagyu di Pahang antara AGK Dairy Fresh Sdn Bhd dan Austrex Co.

Wan Rosdy meninjau salah satu pusat memproses daging. Foto FB Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy meninjau salah satu pusat memproses daging. Foto FB Wan Rosdy Wan Ismail

Menurutnya, MoU turut dimeterai antara Rangkaian Delima Sdn Bhd bersama JBS Australia PTY Limited dalam pengimportan, pengedaran dan pembangunan produk halal berasaskan daging

"Rangkaian Delima juga menandatangani MoU bersama ZML Agritrade PTY LTD dan Australia Halal Authority and Advisers, bagi menjalin kerjasama dalam memastikan rantaian bekalan halal patuh syariah. Manakala, Lembaga Kemajuan Pertanian Pahang (LKPP) bekerjasama dengan ZML Agritrade PTY LTD, bagi melaksanakan projek ternakan kambing dan bebiri berkualiti tinggi.

"Kerjasama dalam melaksanakan pembangunan latihan, amali dan jaminan kerjaya anak Pahang dalam pertanian, penternakan dan perikanan pula dimeterai Yayasan Pahang bersama ZML Agritrade.

Wan Rosdy (tengah) di salah satu lokasi Lawatan Teknikal Penandaarasan Sektor Pertanian, Penternakan dan Perikanan Negeri Pahang ke Australia. Foto FB Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy (tengah) di salah satu lokasi Lawatan Teknikal Penandaarasan Sektor Pertanian, Penternakan dan Perikanan Negeri Pahang ke Australia. Foto FB Wan Rosdy Wan Ismail

"Yayasan Pahang juga memeterai MoU bersama komuniti Islam Cobram bagi melaksanakan program Tafaqquh Fiddin, tenaga pengajar dan penyediaan bahan rujukan Islam, sekali gus menyantuni komuniti Islam berkenaan bagi mengeratkan hubungan serta memperteguh syiar Islam di luar negara," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Wan Rosdy berkata, delegasi diketuai beliau yang turut disertai Exco Pertanian Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak juga telah mengadakan pelbagai pertemuan dan lawatan bagi memperkukuh sektor keterjaminan makanan negeri Pahang.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang lawatan itu, delegasi kerajaan negeri telah mengadakan beberapa sesi lawatan teknikal ke lokasi-lokasi strategik antaranya ke Mainstream Aquaculture, Werribee Victoria, bagi melihat teknologi dan sistem penternakan ikan siakap.

"Turut dilawati, Goulburn Valley Creamery dan ladang lembu Greater Shepparton, bagi melihat proses penghasilan produk tenusu bersama Farm Fresh Berhad dan Rumah Penyembelihan Ternakan JBS melihat proses penyembelihan dan pemprosesan daging yang mematuhi pensijilan halal oleh pihak berkuasa Australia," katanya.

Tambahnya, pada lawatan itu, beliau dan anggota delegasi juga melawat ladang ternakan lembu dan bebiri di Cobram yang diusahakan anak jati Temerloh, Mohd Zaki Mat Lias dan ladang Fidlot Ulupna Pastoral, bagi meninjau penternakan lembu wagyu dan angus berkualiti tinggi," ujarnya.

Jelas beliau, Lawatan Teknikal Penandaarasan Sektor Pertanian, Penternakan dan Perikanan Negeri Pahang ke Australia itu merupakan salah satu langkah strategik dalam memastikan negeri ini terus mengorak langkah sebagai peneraju dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan utama negara.

"Melalui pemindahan teknologi dan kerjasama yang terjalin, kerajaan negeri yakin usaha ini akan memberi manfaat kepada rakyat, meningkatkan keterjaminan makanan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak Pahang.

"Semoga segala usaha untuk meningkatkan pembangunan di negeri Pahang mendapat rahmat serta keredaan ALLAH SWT," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!