Israel bebaskan 32 rakyat Palestin dari Tebing Barat dalam pertukaran tawanan

Seorang bekas tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel dipeluk oleh ahli keluarganya ketika dia turun dari bas Palang Merah selepas tiba di Ramallah di Tebing Barat yang diduduki pada 1 Februari 2025. Foto AFP

A
A
A

RAMALLAH - Seramai 32 rakyat Palestin dibebaskan daripada penjara Israel pada Sabtu sebagai sebahagian daripada kumpulan keempat dalam perjanjian pertukaran tahanan antara Israel dan Hamas, lapor Agensi Anadolu (AA).

Tahanan yang dibebaskan daripada Penjara Ofer berhampiran Ramallah di Tebing Barat yang diduduki diserahkan kepada Palang Merah Antarabangsa, selaras dengan syarat gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan yang berkuat kuasa sejak 19 Januari lepas.

Bekas tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel disambut dengan sorakan sebaik tiba di Ramallah. Foto AFP
Bekas tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel disambut dengan sorakan sebaik tiba di Ramallah. Foto AFP

Menurut koresponden Anadolu, ratusan rakyat Palestin berhimpun di sekitar Istana Budaya Ramallah untuk menyambut kepulangan tahanan yang dibebaskan, sambil mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan sokongan terhadap perjuangan Palestin serta Gaza.

Walaupun tentera Israel sebelum ini mengeluarkan amaran lebih awal, orang ramai tetap berkumpul untuk menyambut kepulangan tahanan, sambil mengangkat tanda kemenangan sebagai tanda menentang arahan Israel.

Seorang bekas tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel disambut oleh ibunya sebaik tiba di Ramallah dengan bas daripada ICRC. Foto AFP
Seorang bekas tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel disambut oleh ibunya sebaik tiba di Ramallah dengan bas daripada ICRC. Foto AFP

Ramai daripada tahanan yang dibebaskan dilihat berada dalam keadaan kesihatan yang lemah, dengan ada yang hampir tidak dapat berjalan.

Mereka segera dibawa ke hospital di Ramallah untuk pemeriksaan dan rawatan perubatan, menurut koresponden Anadolu.

Terdahulu, Briged Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas telah membebaskan tiga tahanan dari Gaza dan menyerahkan mereka kepada Palang Merah.

Artikel Berkaitan:

Secara keseluruhan, seramai 183 rakyat Palestin dijangka dibebaskan daripada penjara Israel pada Sabtu, termasuk 111 individu yang ditahan oleh tentera Israel di Gaza selepas 7 Oktober 2023, menurut Pejabat Maklumat Tahanan yang dikendalikan Hamas.

Antara tawanan yang dibebaskan, 18 rakyat Palestin sebelum ini menjalani hukuman penjara seumur hidup, manakala 54 lagi menjalani hukuman penjara jangka panjang, menurut pejabat berkenaan. - Bernama-AA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!