Dua maut, dua hilang bot nelayan terkandas di perairan Jeju

Dua bot nelayan yang membawa 15 kru terkandas di perairan berhampiran selatan pulau peranginan Jeju. Foto Agensi
Dua bot nelayan yang membawa 15 kru terkandas di perairan berhampiran selatan pulau peranginan Jeju. Foto Agensi
A
A
A

JEJU - Dua individu maut, manakala dua lagi hilang selepas dua bot nelayan yang membawa 15 kru terkandas di perairan berhampiran selatan pulau peranginan Jeju di Korea Selatan pada Sabtu, menurut Pengawal Pantai.

Memetik Agensi Berita Yonhap, Pengawal Pantai menerima laporan bahawa sebuah bot nelayan seberat 32 tan yang membawa tujuh individu dan sebuah lagi bot seberat 29 tan dengan lapan kru terkandas di atas batu di perairan Jeju sekitar jam 9.24 pagi.

Sehingga 3 petang, seramai 13 kru telah diselamatkan, namun dua daripada mereka disahkan meninggal dunia.

Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan bagi mengesan dua lagi awak-awak yang hilang.

Daripada mereka yang diselamatkan, juragan bot 32 tan, berusia lingkungan 50-an, ditemukan dalam keadaan henti jantung dan dihantar ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Seorang kru warga Indonesia pula ditemukan kira-kira empat jam selepas insiden semasa operasi mencari di sepanjang pantai, namun individu itu juga didapati mengalami henti jantung dan kemudian meninggal dunia.

Sementara itu, seorang lagi kru yang diselamatkan dihantar ke hospital selepas tidak sedarkan diri, tetapi dilaporkan dalam keadaan stabil. Sepuluh kru lain mengalami hipotermia ringan.

Seorang anggota Pengawal Pantai cedera di tangan selepas dihanyutkan ombak dan terhentak pada batu ketika operasi menyelamat.

Juragan kedua-dua bot merupakan warganegara Korea Selatan, manakala kru terdiri daripada warga asing, termasuk dari Vietnam dan Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa meneruskan operasi mencari dua lagi kru yang masih hilang, namun keadaan cuaca buruk serta ombak tinggi menyukarkan usaha menyelamat.

Operasi mencari dan menyelamat itu melibatkan sembilan kapal peronda tentera laut, sebuah kapal perang, enam kapal awam serta sekitar 100 anggota yang dikerahkan ke kawasan pesisir pantai bagi mencari mangsa yang hilang.

Terdahulu, Pemangku Presiden Choi Sang-mok mengarahkan pihak berkuasa menggerakkan semua sumber yang ada bagi menyelamatkan kru selain memastikan keselamatan anggota penyelamat susulan keadaan cuaca buruk di laut. - Bernama-Yonhap

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!