X

Kindly register in order to view this article
!

Pelajar mangsa terbaru, kes jangkitan Covid-19 meningkat di Singapura

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan satu lagi kes jangkitan koronavirus (Covid-19) di negara itu, melibatkan seorang pelajar di Institut Teknologi Singapura.
A
A

SINGAPURA- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan satu lagi kes jangkitan koronavirus (Covid-19) di negara itu, melibatkan seorang pelajar di Institut Teknologi Singapura, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini meningkat ke 85.

MOH berkata, kes terbaru itu melibatkan pelajar berusia 24 tahun yang berkaitan dengan kes ke-82, seorang wanita berusia 57 tahun rakyat Singapura, di mana kedua-dua mereka tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China.

Pelajar itu kini ditempatkan di bilik isolasi di Hospital Besar Ng Teng Fong, dan beliau telah tidak ke tempat belajarnya sejak mula menunjukkan simptom, kata Kementerian itu dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu MOH menyatakan 10 lagi kes jangkitan Covid-19 telah dibenarkan pulang dari hospital hari ini, menjadikan kesemua yang telah pulih sepenuhnya kepada 47 orang.

Seorang daripada mereka merupakan kes ke-84, seorang wanita warga Singapura berusia 35 tahun yang telah disahkan dijangkiti Covid-19 dua hari lepas (19 Februari).

Satu lagi kes yang dibenarkan pulang hari ini adalah kes ke-50 iaitu seorang lelaki warga Singapura berusia 62 tahun, yang berkerja di DBS Asia Central di Pusat Kewangan Marina Bay.

DBS telah mengeluarkan 300 pekerjanya daripada Menara 3 Pusat Kewangan Marina Bay, selepas beliau disahkan dijangkiti Covid-19, pada 12 Februari.

MOH berkata, daripada 39 kes disahkan dan masih berada di hospital, kebanyakan mereka dalam keadaan stabil dan semakin pulih, manakala lima lagi dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit penjagaan rapi.

Sehingga 12 tengah hari semalam, MOH telah mengenal pasti 2,696 kontak rapat yang telah dikuarantinkan. Daripada jumlah itu, 1,574 telah melengkapkan tempoh kuarantin mereka.

Sehingga kini enam kes dikaitkan dengan gereja Life Church & Missions Singapura; sembilan dengan kedai ubat Yong Thai Hang; tiga dengan mesyuarat perniagaan di Grand Hyatt Singapura, lima dengan tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights; dan 22 kepada gereja Grace Assembly of God. - Bernama