Perkasa ilmu tadabbur percuma di Hilwan Madani Tadabbur Centre

KOTA BHARU - Hilwan Madani Tadabbur Center yang baharu ditubuhkan di Kampung Pulau, Kubang Kerian di sini membuka peluang kepada masyarakat umum untuk memantapkan kefahaman terhadap al-Quran secara percuma.
Pengasas dan tenaga pengajar Hilwan Madani, Mohammad Amir Kholis Lukman berkata, pusat terbabit akan menjadi lokasi penumpuan pengajaran dan pengajian bagi memahami serta mengambil pelajaran atau ibrah daripada al-Quran yang menggunakan pakai model rancangan My#QuranTime yang disiarkan di televisyen.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) itu berkata, penubuhan Hilwan Madani Tadabbur Center juga adalah rentetan dan sambut baik usaha oleh Yayasan Ummah Ikhlas untuk membudayakan al-Quran dalam kalangan masyarakat.
“Antara isu bincangkan adalah masyarakat kita sudah mula melihat dan faham untuk membaca al-Quran tetapi kelemahannya tidak mantap dari sudut kefahaman.
“Kita nak kedua-dua, maka kami ambil inisiatif yang seiring iaitu mantap bacaan dan juga faham isi Quran,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Perasmian Hilwan Madani Tadabbur Center di sini pada Sabtu.

Majlis dirasmikan Ketua Pegawai Agama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Murtadha Abdullah dan turut disertai pentadabbur, Syakirin Yuslan.
Dalam pada itu, Mohammad Amir Kholis memberitahu, pihaknya juga sudah menubuhkan Hilwan Madani Quranic Center di Chicha, Kubang Kerian sejak dua tahun lalu untuk masyarakat belajar al-Quran, bertalaqqi, betulkan tajwid, makhraj dan juga mengenal sifat huruf al-Quran.
Katanya, Hilwan Madani Quranic Center beroperasi pada jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi pada setiap hari manakala dan Hilwan Madani Tadabbur Center pula bermula pada jam 10.30 pagi hingga 11.30 pagi setiap hari.
Tambah beliau, kedua-dua pusat terbabit mempunyai 18 tenaga pengajar termasuk tiga pentadabbur dan beroperasi secara percuma melalui dana serta sumbangan antaranya daripada Agensi Unit Amanah 8020 Empire.
“Objektif kami mahu masyarakat tidak beralasan untuk belajar al-Quran.
“Ada buat alasan nak belajar al-Quran kerana tak ada duit dan pembelajaran percuma disediakan untuk mereka secara dalam talian mahupun secara bersemuka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

