Elak mandi laut pada musim tengkujuh - Polis

Keadaan ombak besar tidak sesuai buat pengunjung mandi pada musim tengkujuh.
Keadaan ombak besar tidak sesuai buat pengunjung mandi pada musim tengkujuh.
A
A
A

BACHOK - Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mandi laut ketika musim tengkujuh atau Monson Timur Laut (MTL) ketika ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman berkata, pengunjung juga disaran untuk menggelakkan aktiviti berkaitan pantai pada waktu berkenaan.

“Tempoh Monson Timur Laut masih tidak sesuai untuk aktiviti mandi-manda.

“Keadaan ombak tinggi ketika ini selain berarus deras,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

MTL bermula pada November tahun lalu dan dijangka berterusan sehingga bulan depan.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, sepanjang tempoh itu, negara ini diramal melalui empat hingga enam episod hujan lebat berterusan yang signifikan.

Dalam pada itu, Mohd Azrie berkata, pihaknya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok sentiasa melaksanakan pemantauan di kawasan tumpuan seperti pantai.

“Rondaan polis dilakukan dari masa ke masa bagi mengekang kejadian tidak diingini,” ujar beliau.

Sebelum ini, tiga kes lemas membabitkan kanak-kanak berlaku di daerah Bachok membabitkan lokasi pantai dan sungai termasuk ketika aktiviti memancing yang menjadi antara tarikan pada musim cuti persekolahan.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, kanak-kanak sembilan tahun, Ahmad Ammar Rafaeil Ahmad Ridtauden juga anak bongsu daripada dua beradik ditemukan lemas di Pantai Kandis selepas mandi bersama abang sulung dan dua sepupu.

Abangnya berusia 11 tahun dan dua sepupu mereka berusia belasan tahun terselamat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!