400 kes tangkapan ular direkodkan sepanjang musim tengkujuh

Anggota APM menunjukkan beberapa spesis ular yang ditangkap selepas dilaporkan memasuki rumah penduduk di sekitar daerah Besut sepanjang musim tengkujuh baru-baru ini.
Anggota APM menunjukkan beberapa spesis ular yang ditangkap selepas dilaporkan memasuki rumah penduduk di sekitar daerah Besut sepanjang musim tengkujuh baru-baru ini.
A
A
A

BESUT - Beberapa kawasan yang ditenggelami air akibat hujan lebat sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) menyebabkan jumlah tangkapan ular yang memasuki rumah penduduk di daerah ini meningkat kepada 400 kes.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Besut, Leftenan (PA) Mohd Fazli Mat Yusof berkata, jumlah tangkapan reptilia itu direkodkan dalam tempoh tiga bulan bermula dari November 2024 hingga Januari tahun ini.

Menurutnya, reptilia itu dikesan keluar dari sarang atau tempat persembunyian yang ditenggelami air dan mencari penempatan baharu di rumah penduduk.

"Jumlah tangkapan ular sepanjang musim tengkujuh meningkat mendadak kerana haiwan ini cenderung untuk mencari tempat berlindung apabila habitat asalnya dipenuhi air.

"Antara lokasi biasa tangkapan ialah di kawasan terlindung melibatkan rumah penduduk yang mana lokasi ini turut dimasuki reptilia tersebut untuk berlindung dan menjadikan ia sebagai tempat pembiakan.

"Selain itu, ia juga mencari lokasi berdekatan sumber makanan bagi membolehkannya bertahan untuk hidup ketika cuaca hujan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat APM Daerah Besut di sini pada Khamis.

Jelasnya, terdapat beberapa spesis ular yang biasa ditangkap antaranya ular sawa batik, ular sawa tikus, ular senduk sembur, ular sudu liar dan ular gading wat.

Sehubungan itu beliau berkata, penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa memeriksa persekitaran rumah masing-masing supaya tidak menjadi tempat pembiakan ular.

"Orang ramai perlu sentiasa menjaga kebersihan persekitaran rumah bagi mengelak ia dijadikan sebagai sarang dan tempat pembiakan ular.

Artikel Berkaitan:

"Segera laporkan kepada pihak APM atau mana-mana agensi sekiranya mereka menyedari kehadiran ular bagi menjaga keselamatan dan mengelak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!