Semua berdebar tunggu November

Kopi Pahit Hujung Minggu

A
A
A
Kata yang empunya cerita ada pakatan mendapatkan tandatangan anggota Parlimen untuk menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dikhabarkan bahawa Pas akan membawa ‘usul undi percaya’ dalam Dewan Rakyat bagi meminta Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri hingga tamat tempoh.

Dengan undi percaya itu tidak timbullah isu menetapkan tarikh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Tidak pasti sama ada undi percaya itu nanti akan menjadi kenyataan, tetapi itu kini menjadi keresahan kepada penyokong Anwar.

Mereka mendesak Dr Mahathir menetapkan tarikh sebenar peralihan kuasa.

Kalau ikut sejarah silam mereka yang tidak sabar akhirnya kempunan menggigit jari.

KETIKA orang bersosak-sosek mengenai undi percaya Pas dan usaha menidakkan Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir, ada pula teori lain yang lebih menarik.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu,Tan Sri Dr Rais Yatim berteori bahawa ada sesuatu yang berjalan di belakang tabir.

Katanya menerusi Twitter: “Dengan mengatakan bahawa peralihan kuasa akan berlaku pada November 2020 nampaknya tidak cukup bagus untuk pengawas PH.
Artikel Berkaitan:


“Sesuatu mungkin berlaku sebelum November. Pengawas-pengawas ini mungkin tidak tahu apa yang ‘pukul’ mereka. Ada kuasa dan faktor lain sedang berjalan...”

Maka semakin berdebar-debarlah Anwar dan konco-konconya!

ADA pun perihal Dr Mahathir, beliau tidak gubra sedikitpun dengan apa yang diuar-uarkan media mengenai kemelut peralihan kuasa.

Beliau hanya buat ‘dhek’ bila wartawan bertanyakan hal itu. Almaklumlah orang lama dalam politik, beliau tidak kisah pada desakan mana-mana pihak.

Beliau tetap dengan pendirian akan melepaskan jawatan selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan diadakan November ini. Jadi kita tunggulah hingga tarikh tersebut.

ARTIS wanita tidak berpeluang lagi membuat persembahan di Terengganu apabila garis panduan baharu dikuatkuasakan di Negeri Penyu itu.

Seperti yang diberitahu, garis panduan 11 perkara itu antaranya melarang wanita menari dan menyanyi di khalayak ramai, khususnya yang terdiri audiens lelaki.

Maka Datuk Seri Siti Nurhaliza, Neelofa dan lain-lain selebriti terkenal tidak lagi boleh mencari makan di negeri pemerintahan Pas itu.

Tidak pula dijelaskan apakah artis lelaki – termasuk Awie anak jati Terengganu – juga tidak boleh membuat persembahan di hadapan audiens wanita.Untuk makluman, garis panduan seakan sama telah berjaya dilaksanakan di Kelantan Serambi Makkah yang sejak sekian lama dipimpin Pas.

WALAUPUN setakat ini tidak ramai rakyat kita yang dijangkiti wabak Covid-19, namun ketakutan umum terhadap virus itu semakin tinggi.

Kesan negatif wabak maut itu terhadap kehidupan harian kita semakin terasa. Orang tidak berani keluar rumah, menyebabkan bisnes merosot.

Pendek kata rata-rata semua negatif gara-gara virus dari Negara Tembok Besar itu. Kalau ada yang nampak positif setakat ini ialah kejatuhan harga durian musang king.

Seperti diakui peniaga di Pulau Pinang, pelancong asing terutama warga China tidak ramai tiba di Pulau Mutiara, menyebabkan harga raja buah itu merosot. Musang King semalam dijual pada harga antara RM30 hingga RM50 per kilo.

AKHIR kalam, seorang menteri di Indonesia mempunyai cara untuk menangani masalah kemiskinan di republik tersebut: kahwin campur!

Menteri Kebudayaan dan Pembangunan Manusia, Muhadjir Effendy mencadangkan lelaki kaya supaya menikahi wanita daripada kelompok miskin.

Logiknya ialah sekiranya seorang suami jutawan boleh berkahwin empat isteri miskin yang miskin itu terkeluar daripada kelompok kemiskinan.

Apa kata sekiranya cadangan tersebut diamalkan juga di tempat kita? Sudikah jejaka jutawan menyahut cabaran?