Bolehkah pakai jam tangan, tali pinggang semasa ihram?

MEMAKAI jam tangan, cincin dan tali pinggang ketika dalam ihram adalah tidak termasuk dalam larangan ketika berihram. -Foto: CANVA/ Gambar kecil: USTAZ MUHAMAD AZLAN MD ARIS
MEMAKAI jam tangan, cincin dan tali pinggang ketika dalam ihram adalah tidak termasuk dalam larangan ketika berihram. -Foto: CANVA/ Gambar kecil: USTAZ MUHAMAD AZLAN MD ARIS
A
A
A

SOALAN:

Bolehkah saya memakai jam tangan, cincin dan tali pinggang ketika dalam ihram?

JAWAPAN:

IHRAM merupakan rukun haji dan umrah yang pertama. Seseorang yang niat berihram membolehkan dia melakukan ibadah umrah atau haji atau kedua-duanya secara bersamaan.

Bagi lelaki, mereka memakai dua helai kain putih yang tidak berjahit iaitu dengan sehelai dililitkan pada pinggang dan satu helai lagi diselempangkan di atas bahu.

Sementara itu, kaum wanita pula memakai pakaian biasa yang menutup aurat seperti kebiasaan memakai pakaian telekung putih ketika hendak mendirikan solat.

Namun demikian, terdapat beberapa larangan yang perlu dijauhi oleh orang yang sedang berihram iaitu perkara berkaitan dengan pakaian, kecantikan, wangian, alam sekitar dan hubungan kelamin.

SECARA umumnya, larangan ihram tertumpu kepada perkara yang boleh mengubah keadaan fizikal atau penampilan secara signifikan. Cincin dan jam tangan tidak mengubah keadaan fizikal. -Foto: CANVA
SECARA umumnya, larangan ihram tertumpu kepada perkara yang boleh mengubah keadaan fizikal atau penampilan secara signifikan. Cincin dan jam tangan tidak mengubah keadaan fizikal. -Foto: CANVA

Artikel Berkaitan:

Menjawab persoalan diajukan, ia berkaitan dengan larangan-larangan dalam kaedah berpakaian. Antaranya memakai pakaian yang berjahit, menutup kepala bagi lelaki, menutup kedua-dua telapak tangan bagi wanita serta memakai niqab.

Dalam satu hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Orang yang dalam ihram tidak boleh memakai baju, penutup kepala (imamah), seluar, baju yang ada penutup kepala atau baju yang dicelup wars (iaitu tanaman yang digunakan untuk mewarnakan kain menjadi kekuningan), atau kain yang dicelup zafaran.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)

Dalam sepotong hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah wanita yang berada di dalam ihram memakai niqab dan jangan juga memakai sarung dua tangannya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Justeru, memakai jam tangan, cincin dan tali pinggang ketika dalam ihram adalah tidak termasuk dalam larangan ketika berihram.

Secara umumnya, larangan ihram tertumpu kepada perkara yang boleh mengubah keadaan fizikal atau penampilan secara signifikan. Cincin dan jam tangan tidak mengubah keadaan fizikal. Begitu juga dengan pemakaian tali pinggang yang bertujuan untuk memastikan kain ihram terikat dengan baik.

*Jawapan disediakan oleh Ustaz Muhamad Azlan Md Aris, Penolong Pendaftar Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Pahang, Kampus Jengka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!