Senjata api untuk dijual kepada geng kongsi gelap - Polis

BUTTERWORTH - Senjata api yang dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu di kawasan perairan Sungai Perai di sini pada Isnin lalu, dipercayai untuk dijual kepada beberapa geng kongsi gelap di negeri ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu berikutan sedang melengkapkan penyiasatan kes berkenaan dari segenap aspek.
Menurutnya, polis sudah mengenal pasti sebahagian rangkaian yang terbabit membawa masuk senjata api itu ke negara ini termasuk negara jiran.
"Kes ini membabitkan rangkaian yang agak besar, jadi saya tidak boleh beritahu dengan lebih lanjut.
"Kita telah mengenal pasti sebahagian rangkaian sindiket ini termasuk di negara jiran namun siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Advokasi sempena Op Selamat 23/2025 Tahun Baharu Cina Peringkat PDRM Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Sungai Dua arah Selatan di Sungai Dua di sini, pada Jumaat.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, empat nelayan termasuk dua warga Indonesia ditahan bersama lima pistol, enam kelopak pistol, selaras senapang M4 dan 801 butir peluru di kawasan perairan Sungai Perai pada Isnin.
Hamzah sebelum ini berkata, kesemua senjata api itu ditemui dalam sebuah bot gentian kaca oleh PPM Wilayah Satu yang menjalankan rampasan pada jam 3 petang.
Menurutnya, polis menahan keempat-empat lelaki berusia lingkungan 22 hingga 57 tahun di 1 batu nautika dari Barat Daya Sungai Perai.
Tambah beliau, ketika Pasukan Polis Marin membuat rondaan di kawasan pelabuhan, mereka mendapati terdapat dua bot fiber tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kesemua individu yang ditahan masih direman sehingga 3 Februari ini untuk siasatan lanjut.
Katanya, polis sedang menyusun soal siasat terhadap kesemua suspek dengan begitu rapi berikutan mahu memastikan semua elemen-elemen siasatan mencakupi segala aspek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
