Bersedia mental dan fizikal sebelum ke Tanah Suci

UMUM mengetahui bahawa ibadah haji merupakan kewajipan umat Islam sekiranya berkemampuan seperti termaktub dalam Rukun Islam kelima.
Bagaimanapun, masih ada sebilangan kita yang keliru mengenai ibadah umrah yang juga wajib dilaksanakan bagi setiap umat Islam sekali seumur hidup.
Baik haji mahupun umrah, kedua-dua ibadah berkenaan memerlukan persediaan bukan sahaja dari sudut kewangan, malah dari aspek fizikal dan mental juga, ujar pendakwah, Dr Azmir Azri Ahmad.
“Ini kerana pelaksanaan haji dan umrah adalah gabungan antara ibadah maliyah (kewangan) dan ibadah badaniyah (fizikal),” jelasnya sebagai pembuka kalam ketika ditemu bual Sinar Islam Plus.

Berdasarkan pengalaman beliau bertugas di Makkah dan sebagai jemaah juga, antara yang perlu ditekankan ialah:
1 - Kesabaran sebagai asas ketahanan mental
Menurut pendakwah itu, walaupun ibadah umrah dan haji sering dianggap sesuatu yang mudah dan ringkas, hakikatnya ia menuntut ketahanan mental luar biasa.
“Bayangkan kerajaan Arab Saudi mencatatkan rekod kehadiran jemaah dari luar negara sebanyak 13.55 juta orang membanjiri Tanah Suci Makkah untuk melaksanakan ibadah umrah pada 2023.
“Dalam situasi tersebut, pelbagai cabaran pasti dihadapi sama ada ketika menunaikan umrah mahupun haji, sehingga hilang kesabaran dan boleh mengeluarkan kata-kata tidak baik, berdebat sia-sia dan sebagainya,” jelasnya.
Beliau membacakan sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menunaikan haji dalam keadaan dia tidak bercakap perkataan buruk dan keji, serta tidak melakukan perkara yang fasik, maka dia akan kembali seperti mana dia dilahirkan oleh ibunya (keadaan suci bersih daripada dosa).” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Namun begitu ujarnya, terdapat pihak yang mempertikaikan pesanan daripada pihak pengurusan haji dan umrah dengan mendakwa bahawa konsep kesabaran yang dianjurkan hanya bertujuan menutup kelemahan pihak pengurusan.
“Hakikatnya terdapat perbezaan yang jelas antara bersabar dengan bersikap naif atau mengabaikan hak yang sepatutnya.
“Dalam syariat Islam termasuk juga dalam urusan muamalat, keadilan dan keseimbangan antara kedua-dua pihak yang berkontrak perlu dijaga,” jelasnya.
Dalam masa sama katanya, penting juga untuk menjaga tutur kata dan mengelakkan perbincangan atau pertelingkahan sia-sia.

Sepanjang tempoh menunaikan umrah yang biasanya berlangsung antara tujuh hingga sembilan hari, ujarnya, sebaiknya gantikan kata-kata yang tidak bermanfaat dengan zikir, doa dan amalan ibadah.
“Ibadah umrah dan haji bukan sekadar ritual tetapi juga peluang untuk mendidik diri, membersihkan jiwa dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
“Kesabaran adalah asas penting untuk memastikan setiap ibadah ini dilakukan dengan penuh ketenangan dan keberkatan,” jelas Dr Azmir Azri.
2 - Persiapan kerohanian melalui solat berjemaah
Sebagai ibadah yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental, persiapan kerohanian menjadi aspek penting sebelum berangkat ke Tanah Suci, ujarnya.
“Salah satu persiapan utama ialah membiasakan diri dengan ibadah solat secara berjemaah.
“Ini kerana terdapat segelintir jemaah yang memilih untuk solat di hotel sahaja tanpa berusaha menunaikan solat berjemaah di Masjidil Haram bersama imam,” katanya.
Rasulullah bersabda: “Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat lain melainkan Masjidil Haram.” (Hadis Riwayat Muslim)
Hadis ini menunjukkan keutamaan solat di Masjidil Haram sama ada solat fardu mahupun solat sunat di mana pahalanya bersamaan seribu kali ganda solat di tempat lain, ujarnya.

“Bagi memastikan diri terbiasa dengan amalan ini, langkah awal yang boleh diambil adalah dengan melazimi solat fardu berjemaah di masjid atau surau berhampiran tempat tinggal.
“Usahakan untuk berjalan kaki ke masjid kerana ini bukan sahaja menanam semangat berjemaah, tetapi juga melatih diri menghadapi keadaan di Tanah Suci, di mana jemaah sering perlu berjalan jauh, adakalanya beratus meter untuk ke Masjidil Haram atau Masjid Nabawi,” hurainya.
Jelasnya, amalan ini bukan sahaja mempersiapkan fizikal dan mental, malah menjadikan solat berjemaah itu sebagai istiqamah dan diamalkan secara berterusan sehingga selepas kembali daripada haji dan umrah.
“Dengan persiapan ini, jemaah bukan sahaja lebih bersedia menghadapi cabaran ibadah haji, tetapi juga dapat menanam keazaman untuk terus istiqamah beribadah selepas pulang ke tanah air,” katanya.
Kelebihan ibadah umrah
Ibadah umrah mempunyai kelebihan tersendiri dari sudut tuntutan agama menyebabkan umat Islam berpusu-pusu untuk ke Makkah.
Ibadah umrah adalah mudah, namun bukan bermaksud boleh bermudah-mudah. Antara kelebihan ibadah umrah:
1 - Peluang menghapuskan dosa
Sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan dosa, sama ada kecil mahupun besar sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
2 - Peluang menjadi tetamu ALLAH SWT
Bagi sesiapa yang pernah menunaikan umrah, pasti tidak dapat melupakan saat pertama kali melihat Kaabah.
Air mata sering kali menitis tanpa disedari kerana terharu dengan kebesaran ALLAH SWT dan suasana suci di Tanah Haram.
Bagi mereka yang sudah berkali-kali menunaikannya, rasa rindu untuk kembali ke Baitullah tetap kekal mendalam di lubuk sanubarinya.
Ini kerana ibadah umrah dianggap sebagai satu undangan istimewa daripada ALLAH SWT seperti dinukilkan dalam sebuah hadis.
Rasulullah SAW bersabda: "Tetamu Allah itu ada tiga golongan iaitu orang yang berjuang di jalan ALLAH (al-ghazi), orang yang menunaikan haji dan orang yang menunaikan umrah." (Hadis Riwayat An-Nasa’i dan Ibnu Khuzaimah)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

