Hukum berswafoto ketika tawaf
Apakah perkara yang perlu dipelihara ketika ambil gambar saat laksanakan ibadah itu?

SOALAN:
Ustaz, saya sering melihat ada jemaah umrah yang berswafoto ketika sedang melakukan tawaf. Bolehkah kita berbuat demikian semasa sedang dalam beribadah sedemikian?
JAWAPAN:
RASULULLAH SAW menyifatkan perbuatan tawaf menyamai kedudukannya seperti ibadah solat. Cuma yang membezakannya ialah seseorang yang sedang melakukan tawaf dibolehkan untuk berkata-kata.
Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW: “Tawaf di sekitar Baitullah itu adalah sama seperti solat. Kecuali kamu berkata-kata di dalamnya. Maka sesiapa yang berkata-kata di dalamnya, janganlah dia bercakap melainkan yang baik sahaja.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Perbuatan merakam gambar atau berswafoto ketika melakukan tawaf untuk mengabadikan kenangan baik dan menimbulkan keinginan yang lain untuk menjadi tetamu ALLAH SWT tidaklah menjadi kesalahan.
Namun perlu diingat, ia selagi mana perbuatan itu tidak mengganggu jemaah yang lain seperti mengganggu pergerakan ibadah, tidak mengabaikan rukun ibadah dikerjakan dan menghormati kesucian tempat iaitu di Masjidil Haram.
Begitupun, terdapat sesetengah pandangan mengatakan, perbuatan itu makruh dan perlu dielakkan agar tumpuan ibadah lebih terpelihara dan terfokus.
*Jawapan disediakan oleh Ustaz Muhamad Azlan Md Aris, Penolong Pendaftar Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Pahang, Kampus Jengka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
