Individu menyamar penguat kuasa agama, sasar pasangan berdua-duaan

KUANTAN – Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada terhadap individu yang menyamar sebagai Pegawai Penguat Kuasa Agama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Pengarah JAIP, Datuk Zaliza Zulkipli, menegaskan bahawa pegawai penguat kuasa yang sah tidak akan sesekali meminta pesalah jenayah syariah membayar atau mengimbas kod QR bagi pembayaran denda.
"Orang awam dinasihatkan untuk segera melaporkan kejadian sebegini kepada Bahagian Penguatkuasaan JAIP, Pejabat Agama Islam Daerah, atau membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Notis pemakluman itu dikeluarkan JAIP dimuat naik di laman Facebook Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan pada Selasa.
Beliau turut menjelaskan modus operandi utama penipuan ini adalah dengan menyasarkan pasangan yang berdua-duaan di kawasan gelap, terpencil, dan jauh dari pandangan orang ramai.
“Mereka akan menahan pasangan terbabit, kemudian memeras ugut mangsa untuk membayar sejumlah wang agar dilepaskan tanpa dikenakan tindakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar mengelakkan diri daripada berdua-duaan tanpa ditemani mahram bagi menghindari dosa serta musibah yang tidak diingini.
"JAIP akan terus komited dalam membanteras aktiviti maksiat serta kelakuan tidak bermoral, terutama di tempat awam," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

