Kasih tak pernah terlerai biarpun beza agama

Rosalind (tiga dari kiri) ketika menunaikan umrah pada 2022.
Rosalind (tiga dari kiri) ketika menunaikan umrah pada 2022.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sambutan Tahun Baharu Cina seorang mualaf kali ini lebih bermakna apabila dia bersama ibu dan bapanya yang telah memeluk Islam meraikannya bersama dua adik beragama Buddha.

Rosalind Lau Shy Ping, 36, berkata, perayaan pada tahun ini disambut di kediamannya di Kuala Lumpur bagi membolehkan keluarga mereka berkumpul beramai-ramai.

“Cuma seorang kakak yang berada di Hong Kong tidak dapat pulang ke tanah air.

“Saya bersyukur walaupun kakak serta dua lagi adik saya yang tinggal di sini (Kuala Lumpur) beragama Buddha, silaturahim antara kami tetap utuh dan tidak pernah terlerai,” katanya yang berasal dari Bukit Kuang, Kemaman.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, seramai 14 ahli keluarga termasuk sanak saudara bertandang ke rumahnya pada hari pertama perayaan itu.

“Kami memilih stimbot sebagai juadah istimewa untuk dihidangkan pada hari pertama perayaan. Kami juga tidak kekok untuk bersama-sama sebagai satu keluarga dan kami menghormati pegangan agama masing-masing.

“Sama seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, dua adik saya akan sama-sama menyambutnya.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga tidak kekok memakai baju kurung dan baju Melayu serta menghormati ibadah yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan,” katanya.

Menurut Rosalind, bapanya, Lau Kin Huat, 67, dan ibunya, Chan Suat Kheng, 61, melafazkan syahadah pada 2022, selepas 10 tahun dia memeluk agama Islam.

Rosalind mendirikan rumah tangga bersama Nik Mohd Khairul Azfar Mokhtar, 34, dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Kimberly Lau, 12; Roselyn Lau, 10; Qiara Lau, 8 dan Elvina Lau, 2.

Berkongsi pengalaman manis sepanjang bergelar saudara baharu, Rosalind memberitahu ia adalah apabila dia dihadiahkan pakej umrah pada 2022 setelah memenangi pertandingan tilawah al-Quran di Terengganu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!