Perjalanan tergendala, tiga kali terserempak gajah

GERIK - Perjalanan dari Gerik ke Titiwangsa tergendala selama satu jam gara- gara sekumpulan gajah 'bermain' dan makan berhampiran jalan raya.
Kisah berkenaan dikongsi oleh seorang pengguna jalan raya Fadzilla Bosman, 43, yang memaklumkan kejadian berkenaan berlaku di kawasan Tasik Temenggor pada waktu petang.
Menurutnya, dia dan suami terserempak dengan gajah sebanyak tiga kali dalam perjalanan yang sama.
"Pertama jumpa gajah sebelum Tasik Temenggor pada jam 6.30 petang dan tiba-tiba dalam dua kilometer kami terserempak lagi.
"Kami terpaksa berhenti kerana kali ini terlalu dekat dengan kereta, gajah berkenaan sedang makan ketika itu.
"Lebih mengejutkan apabila saya melihat ada motosikal berpatah balik kerana dikejar gajah. Kami cuba bertenang, berhenti kereta di tepi jalan dan matikan enjin," katanya.
Disebabkan kejadian itu dia dan suami mengambil keputusan untuk patah balik ke Pulau Pinang kerana dikhuatiri tidak selamat.
"Masa dalam perjalanan pulang kami sekali lagi terserempak dengan tiga ekor gajah," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau turut menasihati pemandu yang melintasi jalan itu agar tidak memperlahankan kenderaan.
"Pesan saya kepada semua pemandu yang terserempak dengan gajah lebih baik menghentikan kenderaan sekiranya jarak masih jauh atau terus sahaja jika selamat.
"Kalau terserempak masa gajah lalu cepat-cepat matikan enjin dan jangan hon sebab gajah sensitif dengan keadaan dan bunyi kenderaan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

