Tiada kes baharu Covid-19 di Malaysia, lima masih dirawat

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada kes baharu koronavirus (Covid-19) dikesan menjadikan jumlah kes itu kekal 22 setakat hari ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lima kes masih dirawat manakala 17 lagi telah dibenarkan pulang.

"Daripada lima kes yang masih dirawat itu, tiga orang di Hospital Kuala Lumpur (HKL), seorang di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah dan seorang di Hospital Sungai Buloh," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Peringkat Tinggi berhubung kluster penyakit Covid-19, di sini hari ini.

Mengenai wanita warga Amerika Syarikat penumpang kapal persiaran MS Westerdam yang didapati positif Covid-19 pada 15 Februari lepas tetapi didapati negatif selepas diuji sebanyak dua kali selepas menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, beliau berkata, wanita berkenaan masih dirawat.

Ini kerana wanita itu masih masih bergejala dan hanya akan dibenarkan pulang apabila tidak menunjukkan sebarang gejala Covid-19.

Wanita berusia 82 tahun itu yang menaiki kapal persiaran MS Westerdam adalah kes ke-22 positif Covid-19 di Malaysia.

Kapal persiaran itu telah berlabuh di Hong Kong sehari sebelum memulakan pelayaran East Asia Cruise selama 14 hari bermula 1 Februari, bagaimanapun Jepun, Filipina, dan Thailand melarang kapal itu daripada berlabuh di pelabuhan-pelabuhan mereka selepas beberapa orang penumpang sebuah lagi kapal persiaran iaitu Diamond Princess yang berlabuh di Jepun didapati positif Covid-19.

Kapal itu seterusnya tidak dibenarkan berlabuh di beberapa negara sebelum menerima kebenaran untuk berlabuh di Sihanoukville, Kemboja pada 13 Februari.

Artikel Berkaitan:

Wanita itu dan suaminya kemudiannya menaiki penerbangan sewa khas Malaysia Airlines MH8763 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sihanoukville yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 15 Februari.

Suami wanita itu bagaimanapun disahkan negatif Covid-19.

Dr Wan Azizah berkata, Malaysia masih berada pada fasa 'early containment' iaitu tiada penularan meluas antara satu individu dan individu lain, tiada kes sporadik dikesan dalam komuniti, tiada kes kematian dan masih mampu untuk ditangani dengan kapasiti dan keupayaan sedia ada.

Menurut laporan media di seluruh dunia, terdapat 75,716 kes direkodkan setakat jam 8 pagi tadi, dengan 2,247 kematian dan lebih 18,438 orang pulih. - Bernama