Penduduk masih bimbang ancaman monyet, babi hutan

GEORGE TOWN - Penduduk Flat Bukit Gedung di sini sedikit lega apabila babi hutan dan monyet liar yang sering berkeliaran di sekitar kediaman mereka berjaya ditangkap Jabatan Perhilitan Pulau Pinang pada sepanjang minggu lalu.
Pengerusi Persatuan Penduduk Flat (Jenis R) Bukit Gedung, Mohd Farook Hassan Ali berkata, tindakan berterusan pihak berkuasa itu wajar dipuji namun bilangan haiwan liar berkenaan masih banyak yang berkeliaran di sekitar kediaman tersebut.
"Memang Perhilitan datang buat kerja mereka namun kami masih bimbang dengan keselamatan kami.
"Kami sedikit lega tetapi tetap bimbang selagi haiwan-haiwan liar ini masih ada di sini," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Menurutnya, selain babi hutan, penduduk juga masih dibelenggu dengan monyet liar yang suka menyelongkar tong sampah dan berlegar di kaki lima beberapa blok untuk mencari makan.
"Jabatan Perhilitan sangat bertanggungjawab dengan masalah penduduk namun bilangan kedua-dua haiwan liar ini masih banyak. Tindakan berterusan mereka wajar dipuji.
"Namun, bilangan haiwan liar ini terlalu banyak kerana setiap hari, ada saja penduduk yang terserempak dengan monyet liar yang berkeliaran di sekitar Blok 8 dan 10.
"Babi pula, keluar pada waktu malam, tetapi apabila pihak Perhilitan datang meletakkan lebih banyak sangkar untuk kedua-dua haiwan ini, kami berasa lega sedikit," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhilitan Pulau Pinang, Mohd Zaide Mohamed Zin berkata, pihaknya berjaya menangkap seekor babi hutan dan lima ekor monyet liar di kawasan berkenaan sepanjang dua minggu lalu.
Menurutnya, Jabatan Perhilitan Pulau Pinang akan memperbanyakkan lagi rondaan, pemantauan selain meletakkan lebih banyak umpan pada perangkap yang dipasang.
"Pasukan kita sering menjalankan kerja pemantauan berkala di sekitar kawasan berkenaan untuk memastikan perumahan tersebut selamat, malah kita telah memasang perangkap untuk monyet liar dan babi hutan di kawasan perumahan tersebut sejak tahun lalu.
"Isu di Flat Bukit Gedung sentiasa dalam pemantauan kita dan tindakan berterusan telah dijalankan.
"Tindakan mengubah lokasi perangkap dari kawasan flat ke dalam kawasan kem askar berdekatan dilihat berhasil apabila dalam tempoh dua minggu ini, kita berjaya menangkap lima ekor monyet liar dan seekor babi hutan," jelasnya.
Beliau turut berharap agar penduduk atau orang awam tidak mengganggu perangkap yang dipasang oleh Jabatan Perhilitan yang akan menggagalkan usaha memerangkap haiwan-haiwan liar tersebut.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penduduk di flat berkenaan bimbang dengan keselamatan dan harta-benda mereka berikutan sering menjadi ancaman kumpulan monyet liar dan babi hutan di kawasan tersebut.
Lebih membimbangkan, pernah beberapa kali berlaku monyet liar yang terlepas masuk ke rumah penduduk di flat berkenaan.
Ancaman monyet liar itu berlaku sejak tiga tahun lalu manakala kehadiran babi hutan disedari sejak tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

