Ular sawa 120kg ditangkap belakang rumah penduduk

BESUT - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Besut menangkap seekor ular sawa batik seberat 130 kilogram di Kampung Batu 13, di sini pada Sabtu lalu.
Pegawai Operasi APM Daerah Besut, Lt (PA) Mohd Fazli Mat Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang penduduk kira-kira jam 5.55 petang yang memaklumkan kemunculan reptilia itu di belakang sebuah rumah.
"Sebaik tiba di lokasi mendapati ular tersebut berada di kawasan belakang rumah penduduk.
"Difahamkan ular itu datang dari kebun sawit berhampiran kerana ia mempunyai haiwan ternakan yang menjadi tarikan kepada reptilia tersebut.
"Anggota APM mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap haiwan terbabit," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Fazli berkata, reptilia itu akan diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, ular sawa batik itu merupakan tangkapan kali ke-19 yang direkodkan dalam tempoh bulan Januari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
