Amirudin harap Tahun Baharu Cina tahun ini bawa kemakmuran kepada Selangor

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari meluangkan masa menziarahi kediaman Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
Amirudin yang kelihatan segak berpakaian tradisi lelaki kaum Cina, samfu berwarna merah hadir kira-kira jam 10 pagi pada Rabu.

Beliau turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat berketurunan Cina khususnya di negeri ini yang menyambut perayaan tersebut.
Selain itu, beliau juga berharap agar sambutan perayaan tersebut pada tahun ini bakal membawa kegembiraan dan kemakmuran kepada Selangor.
"Khususnya kepada masyarakat Tionghoa di Selangor, saya ingin mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina, Xin Nian Kuai Le dan Gong Xi Fa Cai.

"Semoga tahun ini membawa kekuatan, kegembiraan dan kemakmuran kepada Selangor," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis rumah terbuka di kediaman Suee Lim di sini, pada Rabu.
Hadir sama, bekas Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid; Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin; Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari dan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
