Makanan biasa-biasa tapi harga kayangan

Harga makanan mereka seperti T20 tetapi kualiti makanannya boleh dianggap marhaen saja. - Foto Pexels
Harga makanan mereka seperti T20 tetapi kualiti makanannya boleh dianggap marhaen saja. - Foto Pexels
A
A
A

Harga cekik darah! Itu yang boleh digambarkan ketika mengunjungi festival makanan apabila harga jualan dilihat tidak masuk akal sedangkan kualiti biasa-biasa saja.

Kalau bawa wang RM50, mungkin dapat membawa balik dua atau tiga jenis makanan sahaja disebabkan rata-rata makanan harga belasan dan puluhan ringgit, malah ada mencecah RM50 untuk satu jenis makanan.

Minuman pula, satu cawan dijual sehingga mencecah RM10. Kalau minuman premium, harga boleh mencecah RM15 ke RM18 bergantung kepada peniaga dan jenis minuman.

Itu belum sentuh peniaga mengikut trend terkini dengan jual perkataan seperti homemade, resipi turun-temurun, premium, tular atau cheese, automatik harga makanan menjadi mahal hingga kadangkala tak tercapai dek akal.

Baru-baru ini, penulis berkunjung ke sebuah festival makanan. Sengaja mahu melihat suasana dan makanan dijual di situ. Ramai mengeluh dan kecewa dengan harga makanan dan minuman di festival tersebut mahal.

Ternyata peniaga terutama pempengaruh atau artis menjual makanan, minuman atau pencuci mulut premium. Harga makanan mereka seperti T20 tetapi kualiti makanannya boleh dianggap marhaen saja. Tiada elemen ‘wow’.

Penulis membeli donut tular yang didakwa resipi turun-temurun, satu set mempunyai empat biji termasuk air kopi. Harga hampir cecah RM30.Tapi bila rasa donut tersebut, keras dan tidak berkualiti. Boleh katakan banyak lagi makanan pasar malam jauh lebih enak dan murah berbanding festival makanan.

Tapi mungkin ada yang tidak setuju pendapat penulis kerana mungkin sewa tapak festival lebih mahal berbanding pasar malam. Ini tidak dinafikan namun jangan normalisasikan harga makanan di festival perlu mencanak-canak, mahu dapat untung besar hingga menjadi ikutan peniaga lain.

Sebagai pengguna pula, kita perlu bijak bandingkan harga, pilih makanan berkhasiat, berkualiti, tak perlu terlalu taasub untuk cuba makanan-makanan tular, hingga perlu beratur panjang, buat content, laparkan like, sekali gus menjadi trending di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Tidak perlu menunjuk-nunjuk yang kita kaya di mata orang lain dengan membeli harga kayangan premium, sedangkan kualitinya tiada. Beli harga premium tetapi kualiti bombastik, ibarat alah beli menang memakai.

Sudah tiba masanya kita hentikan perkara dan pemikiran sedemikian kerana selagi mana ada permintaan, selagi itu wujud penawaran yang boleh mencekik pembeli itu sendiri.

Baru-baru ini, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Melaka, Allex Seah Shoo Chin juga menyentuh soal harga makanan melampau dengan alasan ‘harga tahun baharu’.

Beliau mengingatkan peniaga makanan khususnya di kawasan pelancongan di negeri itu tidak mengambil kesempatan menaikkan harga kerana boleh menjejaskan kedatangan pelancong, sekali gus menyebabkan pendapatan mereka juga merosot.

Ujarnya, harga bahan asas itu merupakan barang kawalan dan masih ada untung jika dijual pada kadar berpatutan supaya pelancong tidak serik untuk datang ke Melaka.

Beliau juga mengakui ada segelintir peniaga menjadikan beberapa alasan untuk menaikkan harga, antaranya kesan peningkatan gaji penjawat awam mulai 1 Disember lalu serta kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari ini.

Jika peniaga memberi alasan sedemikian, sukar untuk kerajaan mengawal harga makanan kecuali pengguna membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Justeru, pada pandangan penulis, KPDN juga perlu kerap turun padang ke festival makanan untuk melihat sendiri harga minuman, makanan dijual di situ dan mengambil tindakan perlu sekiranya harganya mengalahkan makanan di pusat beli-belah.

Nasihat kepada para peniaga, sudah-sudahlah bersikap tamak, mengambil kesempatan daripada pembeli untuk mengaut keuntungan dengan kualiti makanan tidak seberapa.

Elak dilabel scam pembeli!

*Syairah Abdul Lajis ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!