Pengarah urusan curi minuman keras ditahan polis

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta di sini ditahan polis selepas didapati terlibat dengan kegiatan mencuri minuman keras dan rokok di kedai serbaneka di Taman Melawati, Jalan Sungai Jati kelmarin.

Suspek berusia 26 tahun itu juga didapati melakukan kegiatan sama di tiga lagi kedai serbaneka di sekitar daerah ini pada hari yang sama. Namun kurang 24 jam selepas melakukan jenayah itu, suspek berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian bermula apabila suspek melarikan beberapa tin minuman keras di kedai serbaneka di kedai pertama terletak di Taman Melawati, Jalan Sungai Jati di sini sekitar jam 2.27 pagi.

Menurutnya, juruwang kedai tersebut memaklumkan bahawa suspek telah memasuki premis itu dan mengambil beberapa tin minuman keras tanpa membuat pembayaran.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Nissan Almera yang dioandu rakannya dan dianggarkan kerugian kedai serbaneka tersebut berjumlah RM78,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata, susulan kejadian itu, anggotanya yang membuat rondaan di Persiaran Batu Nilam pada pukul 5.15 pagi telah terserempak dengan kereta jenis yang sama dinaiki suspek berada dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila kita menahan kereta menemukan suspek bersama enam botol dan 37 tin minuman keras bersama 31 kotak rokok pelbagai jenama.

"Hasil siasatan, suspek juga mengaku telah mencuri barangan berkenaan di empat buah kedai serbaneka sekitar daerah ini pada hari sama.

Artikel Berkaitan:

“Pemeriksaan terhadap suspek mendapati tiada rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing juga negatif dadah. Suspek kini direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.