Peruncit bantah GEG, larang pamer produk rokok di kedai

Gambar hiasan. - Foto 123rf. Gambar kecil: Hong Chee Meng
Gambar hiasan. - Foto 123rf. Gambar kecil: Hong Chee Meng
A
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) membantah cadangan ke arah perlaksanaan dasar Penamat Generasi (GEG) kerana bakal memberi impak negatif terhadap sektor peruncitan di negara ini dalam jangka masa panjang.

Presiden FSGMAM, Hong Chee Meng berkata, hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahu meneruskan dasar yang dicadangkan untuk mengharamkan penjualan rokok dan vape itu dibuat tanpa sebarang rundingan dengan pihak sektor peruncitan.

“Kita juga difahamkan rang undang-undang yang dibentangkan tahun lalu mempunyai peruntukan untuk memperkenalkan langkah larangan mempamerkan produk rokok dan rokok di kedai runcit.

"Kami tidak pasti sama ada ini masih pendirian KKM kerana tiada taklimat mahupun rundingan mengenai mana-mana langkah yang akan diperkenalkan oleh kementerian.

"Larangan mempamerkan produk merokok di kedai runcit pasti akan memberi kesan kepada operasi kami di runcit dan juga menyebabkan menanggung kos tambahan untuk membuat pelarasan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan kementerian merancang membentangkan rang undang-undang tersebut di Parlimen pada Jun dan mengandungi GEG yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Ujar Chee Meng, sektor peruncitan terutamanya peniaga kecil dan sederhana berdepan kesukaran peningkatan kos menjalankan perniagaan dan tekanan inflasi.

"Ini pasti akan menyebabkan lebih banyak kerumitan kepada cara kami menjalankan perniagaan pada masa hadapan.

“Satu lagi kebimbangan kami ialah aliran hasil daripada jualan produk tembakau. Kami tidak menyokong merokok tetapi daripada perspektif perniagaan, produk itu mempunyai permintaan.

"Ia memberikan kami aliran pendapatan yang stabil, meliputi sebahagian daripada kos operasi harian kami. Larangan penjualan rokok dan vape akhirnya akan menghilangkan ini daripada aliran pendapatan kami," jelasnya.

Chee Meng berkata, larangan itu juga akan menyebabkan penjualan produk rokok haram semakin berkembang kerana tidak lagi mempunyai saingan daripada peruncit sah.

Menurutnya, ia boleh mengakibatkan penjualan rokok haram menguasai pasaran dengan mudah.

"Perkara ini yang harus diutamakan sebelum sebarang langkah atau dasar baharu dipertimbangkan.

“FSGMAM berharap kerajaan akan mempertimbangkan semula rang undang-undang dan melihatnya dari semua perspektif sebelum membuat keputusan mereka.

"Kajian dan ulasan mendalam perlu dilakukan memandangkan ia akan memberi kesan kepada perniagaan runcit dan ekonomi negara," ujarnya.