Angpau menanti 1,000 kanak-kanak di Jualan Gudang Karangkraf 2025

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seramai 1,000 kanak-kanak terawal yang datang ke Jualan Gudang Karangkraf 2025 bakal menerima angpau daripada pihak penganjur sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula 29 Januari hingga 2 Februari ini.
Pengurus Karangkraf Mall, Muhammad Hafizul Mukmin Adnan berkata, tiada sebarang syarat dikenakan untuk memperoleh angpau berkenaan.
"Kita tak tetapkan sebarang syarat, jika satu keluarga datang bersama 10 orang anak... mereka semua akan dapat. Pemberian ini adalah untuk meraikan kanak-kanak yang hadir.

"Pun begitu, untuk mendapatkan angpau ini mereka perlu masuk menerusi pintu utama sahaja kerana pemberian duit raya tersebut akan diedarkan di situ," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Jualan gudang menjadi program sulung Kumpulan Karangkraf bagi tahun 2025 dan kembali menemui penggemar buku sehingga 2 Februari depan bermula jam 9 pagi hingga 7 malam.

Bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf, pengunjung bukan sahaja berpeluang mendapat tawaran diskaun harga berpatutan malah terdapat pelbagai aktiviti menarik disajikan sepanjang program berlangsung.
Pada masa sama, Muhammad Hafizul Mukmin memaklumkan, pengunjung boleh mendaftar sebagai ahli VIP Karangkraf dengan pembayaran hanya RM10 seumur hidup bagi mendapatkan lebih banyak potongan harga dalam setiap pembelian.
Menurutnya, pelbagai kemudahan disediakan di Jualan Gudang Karangkraf 2025 bagi memudahkan segala urusan pengunjung seperti tandas, surau, kendera saji dan ruang makan yang selesa.
Tambah beliau, bagi individu yang tidak dapat menghadirkan diri ke Jualan Gudang Karangkraf 2025 secara fizikal boleh menikmati tawaran dalam setiap pembelian secara dalam talian.
"Pembeli boleh layari laman web rasmi di www.karangkrafmall.com dan tempoh diskaun juga sama seperti di sini iaitu tamat pada 2 Februari ini.
"Pelbagai alternatif yang kita sediakan kepada semua pembeli supaya mereka tidak terlepas peluang untuk menikmati pelbagai tawaran atau potongan harga sehingga 80 peratus," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!