Jualan Gudang Karangkraf: Buku kanak-kanak tarik pengunjung berbilang kaum

SHAH ALAM - Penawaran pelbagai bahan bacaan menarik untuk kanak-kanak di Jualan Gudang Karangkraf 2025 mendorong ramai pelanggan berbilang kaum berkunjung ke program berkenaan.
Seorang pengunjung berbangsa India, Prakash Kumarasamy, 35 berkata, dia pada awalnya sekadar ingin melihat suasana program tersebut namun, tidak menyangka mendapati banyak buku-buku dijual pada tawaran harga lebih murah berbanding di kedai-kedai biasa.
“Memandangkan hari ini cuti, saya berjalan-jalan sekitar kawasan Shah Alam ini dan kebetulan ternampak papan tanda program tersebut di luar Bangunan Kumpulan Karangkraf.
“Memang tidak sangka, bila masuk ke Jualan Gudang Karangkraf 2025, banyak buku kanak-kanak dijual. Menariknya, ia sesuai untuk semua peringkat umur kanak-kanak termasuk bawah daripada sekolah rendah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Ujar Prakash yang juga pekerja kurier, dia tidak melepaskan peluang untuk membeli buku bacaan untuk anak saudaranya yang kini berumur empat tahun.
Menurut Prakash, suasana Jualan Gudang Karangkraf 2025 yang luas, kemas dan teratur juga membuatkan pelanggan selesa untuk membawa anak-anak serta mencari buku sesuai untuk mereka.
“Pada saya, harga ditawarkan memang amat berbaloi dan bagi ibu bapa yang ingin membeli buku pembelajaran atau latihan untuk anak-anak, memang sesuai untuk membeli di Jualan Gudang Karangkraf ini,” ujar Prakash yang berasal dari Bukit Raja, Klang.

Sementara itu, pengusaha taska, Rinatras Rusli, 42 berkata, penganjuran acara seperti Jualan Gudang Karangkraf 2025 membantu dari segi menerapkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.
Katanya, dia sering berkunjung ke program berkenaan sejak 2023 bagi membeli buku untuk pembelajaran tiga orang anaknya.
“Anak-anak pun gembira sebab mereka boleh membeli buku yang mereka suka seperti komik. Ada juga jualan promosi menarik untuk buku latihan yang boleh saya beli untuk mereka.
“Contohnya beli tiga buku latihan bersamaan RM5. Kalau di luar, satu buku sahaja sudah RM5,” menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!