Lelaki dipenjara enam bulan tumbuk polis

KEMAMAN - Seorang lelaki dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menumbuk seorang anggota polis berpangkat koperal pada Rabu lalu.
Hakim Wan Suhaila Mohd menjatuhi hukuman itu ke atas Rosidi Mohamed, 37, yang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang penjawat awam berusia 38 tahun.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di dalam Mahkamah Majistret di sini, kira-kira jam 12.45 tengah hari pada Rabu lalu.
Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi bersama Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Afif Mohd Amin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
