Kerajaan Selangor, pesawah bincang kemelut harga belian padi

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor sudah mengenal pasti beberapa pendekatan untuk membantu menyelesaikan masalah kemerosotan harga belian padi.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, beliau juga berkongsi perkara itu ketika bertemu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini.
"Memang kita sudah kenal pasti beberapa perkara mengenai kebimbangan pesawah terutamanya harga padi, kaedah pemberian subsidi yang memerlukan syarat baharu seperti geran serta sebagainya.
"Kita sudah sampaikan kebimbangan itu dan kena ada satu proses cadangan, dan migrasi itu perlu fleksibiliti dan ada keanjalan dalam segi perlaksanaannya
"Kita sudah sampaikan terus kepada Datuk Seri (Mohamad Sabu) agar dapat diberikan pertimbangan seterusnya tindakan yang sesuai dapat diambil bagi memastikan pesawah-pesawah ini terbela," ujarnya.
Izham ditemui selepas menerima kunjungan Exco Pertanian Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaludin Alias bersama delegasinya ke Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Selasa.
Beliau mengulas lanjut berkata, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan pesawah di negeri berkenaan pada Februari ini sebelum Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bermula.
"Ini bagi kita menjelaskan beberapa perkara untuk kita cuba membantu dalam usaha meningkatkan hasil pengeluaran mereka serta isu-isu semasa termasuk harga padi dan subsidi," ujarnya lagi.
Tambahnya, Selangor mempunyai lebih 9,000 pesawah dengan kapasiti tanaman padi melibatkan kawasan tanaman seluas kira-kira 18,000 hektar termasuk di kawasan tanaman padi Sungai Besar.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 4,000 pesawah di Sungai Besar merungut berikutan harga belian padi turun mendadak kepada RM1,400 berbanding RM1,650 per tan pada musim lalu.
Ketua Blok C16 Parit 3 1/2 Banat, Hasbullah Samsuddin dilaporkan berkata, penurunan harga padi itu menjejaskan pendapatan pesawah pada musim menuai pada kali ini.
Menurutnya, meskipun kualiti pengeluaran padi meningkat dan kurang risiko kepada penyakit, namun penurunan harga belian padi membebankan pesawah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

