Motif jahat mahu kuasai Gaza

SHAH ALAM - Cadangan Donald Trump supaya penduduk Palestin dari Gaza dipindahkan ke negara jiran seperti Mesir dan Jordan bukanlah niat untuk membantu.
Pakar Hubungan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed sebaliknya berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS) itu mempunyai motif jahat mahu menguasai tanah Palestin buat selama-lamanya.
Ahmad Marthada berkata, sekiranya ingin membantu, Trump sepatutnya menghantar bantuan dan menyediakan segala kemudahan untuk penduduk Palestin membina semula Gaza bagi mendapatkan kehidupan lama mereka.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu berlaku sebaliknya apabila AS bersungguh-sungguh supaya tanah Gaza, dikosongkan seolah-olah membuka ruang kepada Israel menakluki kawasan tersebut.
"Pada pendapat saya, cadangan terbaharu Trump itu hanya bertujuan untuk membantu Israel meluaskan wilayah, seterusnya menguatkan lagi pengaruh mereka.
"Kita semua tahu Gaza dikuasai Hamas, manakala Tebing Barat dikuasai Fatah. Fatah adalah kumpulan pro-Israel dan Amerika. Sudah pasti ini agenda sebenar bahawa jika Gaza koson, memudahkan mereka untuk mengambil alih tanah itu kerana tidak akan ada lagi serangan dari Hamas," katanya.
Menurut beliau, harus diingatkan bahawa rakyat Palestin menjadi pelarian disebabkan serangan rejim Zionis dan bukan sengaja melarikan diri.
"Rakyat Palestin sebenarnya mahu pulang dan tinggal di Gaza berbanding diletakkan di negara lain," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ahmad Marthada juga menjelaskan, ramai rakyat Palestin yang berhijrah ke negara lain sebelum ini, bagaimanapun mereka dilayan seperti kelas kedua.
"Ada sebahagian daripada mereka pergi ke Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi, tetapi mereka tidak dapat apa-apa keistimewaan seperti warga tempatan. Sudah tentu rakyat Palestin terutama dari Gaza tidak mahu tinggal di negara luar," katanya.
Ahmad Marthada juga berpandangan, apa sahaja cadangan untuk membantu rakyat Palestin di Gaza perlulah diadakan perbincangan dengan negara-negara Islam lain menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!