Kepulangan bersejarah buat penduduk Palestin

GENTING GAZA - Penduduk Palestin akhirnya dapat menuju ke utara Genting Gaza, dua hari selepas dihalang rejim Zionis.
Sejak Sabtu lalu, kumpulan penduduk bersama lori tangki air, ambulans, kereta sorong ditarik keldai dan kru TV dilaporkan terkandas sepanjang tiga kilometer di al-Rashid Street.
Polis Gaza turut mengawal orang awam yang menunggu kebenaran untuk meneruskan perjalanan mereka ketika jet dan dron Israel terus berlegar-legar di udara.
Saeed Abu Sharia, 49, memberitahu dia bersama keluarganya terpaksa tidur di dalam kereta.

“Saya sudah bakar khemah yang jadi tempat berlindung kami. Ia adalah simbol kesengsaraan kami dan wajar dimusnahkan,” katanya sambil menambah seramai 15 ahli keluarga yang lain terkorban dalam perang genosid yang berlarutan selama lebih 15 bulan.
Ratusan keluarga yang lain juga senasib dengan Abu Sharia kerana terperangkap dalam kesesakan di Salah al-Din Street.

“Ratusan ribu penduduk Palestin setia menanti di Koridor Netzarim untuk kembali ke utara Gaza,” ujar jurucakap Agensi Pertahanan Awam, Mahmud Bassal.
Dianggarkan, jumlah kumpulan itu antara 615,000 dan 650,000 orang dengan dua pertiga daripada mereka berkemungkinan menggunakan jalan pantai.
Koridor Netzarim sepanjang tujuh kilometer yang ditubuhkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) membahagikan kawasan di utara Gaza dari sempadan Israel ke Laut Mediterranean.

Perjanjian baharu dicapai
Sekatan selama kira-kira 48 jam itu disebabkan oleh ketidakpuasan Israel terhadap perjanjian pembebasan tahanan kedua.
Tel Aviv mendakwa kononnya Hamas mengingkari janji apabila gagal membebaskan orang awam, Arbel Yehud bersama empat anggota tentera wanita pada Sabtu.
Susulan desakan negara perantara proses damai Hamas-Israel, rejim Tel Aviv akhirnya akur untuk membenarkan penduduk Palestin kembali ke utara Gaza pada Isnin.
Jurucakap gerakan Jihad Islam, Mohammaed al-Hajj Musa mengesahkan perjanjian telah dicapai mengenai tuntutan Israel itu dan ia akan dilaksanakan dua hari lebih awal daripada tarikh asal.

"Baki tiga lagi tawanan akan dibebaskan seperti dijadualkan pada Sabtu. Hamas turut menyerahkan senarai nama tahanan Palestin yang perlu dilepaskan mereka di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata tersebut," jelasnya.
Di seberang koridor itu di utara Gaza, Bashar Naser, 28, dari Jabalia memaklumkan dia setia menanti kepulangan ahli keluarganya.
“Saya mahu menyambut dan meraikan mereka. Ia adalah kegembiraan yang amat besar,” jelasnya. - AFP


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

