'Kita tak main bola tapi main ragbi'

PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad kecewa selepas pasukannya sekadar seri 1-1 dalam aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada Ahad.
Menurutnya, banyak peluang terhidang yang gagal disempurnakan menyaksikan mereka kempunan tiga mata penting di laman sendiri.
Beliau turut menyifatkan keadaan padang yang kurang memuaskan akibat hujan lebat memberikan masalah kepada pasukannya.
"Terus terang saya hampa, mungkin pemain pun sama. Kita cipta peluang tetapi gagal sudahkan. Setidaknya tiga gol kita boleh jaringkan pada babak pertama perlawanan ini.
"Hari ini bukan masalah taktikal, tetapi kita (seperti) tidak main bola, sebaliknya kita main ragbi. Tendang dan lari, tendang dan lari. Dengan keadaan padang macam ini kita tidak boleh main hantaran bawah dan perlu main bola tinggi. Ia sedikit memberikan masalah," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, tuan rumah ketinggalan menerusi jaringan Kenny Pallraj pada penghujung separuh masa pertama sebelum Stefano Brundo menyelamatkan Sri Pahang menerusi penalti pada minit ke-79.
Fandi turut menyifatkan kurang disiplin dalam kalangan pemain juga menjadi punca utama mereka dibolosi lawan.
"Kita ada pakar analisis yang sudah membuat analisis untuk situasi bola mati. Namun, ada pemain tak jalankan tugas, tak ikut pemain lawan.
"Senarai nama siapa jaga siapa itu sudah diberikan tetapi kita kurang disiplin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
