Derita gadis OKU hidap kanser payudara

BESUT - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, demikian nasib dialami seorang wanita orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan fizikal yang menderita selepas disahkan menghidap kanser payudara sejak April tahun lalu.
Ibunya, Wan Jah Daud, 50, berkata, anaknya, Nor Syafiqah Ismail, 22, disedari menghidap penyakit itu selepas ketulan di bahagian payudaranya pecah akibat terjatuh.
"Sebelum ini, Syafiqah hanya mengadu sakit pada bahagian dada dan kami pernah beberapa kali hantar dia dapatkan rawatan di Hospital Besut.
"Waktu tu kami belum tahu penyakit dialaminya sehinggalah dia terjatuh dalam keadaan tertiarap dan dikejarkan ke hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

"Selepas pemeriksaan lebih teliti barulah kami tahu dia hidap kanser payudara dan terpaksa jalani pembedahan, rawatan hampir dua bulan di HSNZ," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung La, di sini, baru-baru ini.
Menurut Wan Jah, selepas dirawat di hospital, Syafiqah kembali menjalani rutin harian di sekolah menerusi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tenang.
Bagaimanapun, katanya, tahap kesihatan anak kelima dari enam beradik itu semakin merosot pada November tahun lalu.
"Saya terpaksa hantar semula dia ke HSNZ dan dirawat selama sebulan di situ, sebelum dipindahkan ke Hospital Besut serta dibenarkan pulang ke rumah pada Isnin lalu," jelasnya.
Dalam pada itu, bapa tiri Syafiqah, Jaafar Amid, 72, buntu memikirkan nasib anaknya kerana terpaksa menanggung kesakitan berganda selain mengalami kecacatan fizikal sejak dilahirkan.
"Syafiqah dilahirkan istimewa, dia ada masalah komunikasi selain cacat pada bahagian badan. Sebelum ini dia boleh berjalan, namun sejak alami kanser dia langsung tidak boleh uruskan diri sendiri dan selalu rebah.
"Dia kini memerlukan penjagaan rapi, jadi agak sukar untuk saya tinggalkan dia sendirian di rumah jika keluar bekerja, " katanya bekerja sebagai penoreh getah.
Wan Jah memberitahu, dia dan suami terpaksa meninggalkan Syafiqah di bawah pemantauan jiran sekiranya keluar untuk menoreh getah.
"Kalau hari saya dan suami keluar menoreh getah, Syafiqah akan dipantau oleh jiran-jiran sehingga kami pulang ke rumah pada tengah hari.
"Kalau tak kerja macam mana nak tampung makan minum dan keperluan dia, anak-anak yang lain.
"Jadi, saya sendiri terpaksa bekerja mencari nafkah bagi menampung perbelanjaan harian, keperluan dan perubatan Syafiqah," kongsinya.
Namun ibu kepada enam cahaya mata itu bersyukur kerana menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Syafiqah ada terima bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan, namun ia belum cukup untuk tampung keperluannya yang mencecah RM1,000 sebulan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
