CEO Starbucks dapat bayaran RM420 juta selepas bekerja 4 bulan

NEW YORK – Starbucks Corporation menganugerahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Brian Niccol, bayaran berjumlah AS$96 juta (RM420.2 juta) tahun lepas, hanya empat bulan selepas beliau menyertai gergasi rangkaian kedai kopi popular itu.
Bayaran yang diterimanya itu sekali gus menewaskan pakej pampasan terbesar dalam sektor korporat di Amerika Syarikat seperti Ketua Pegawai Eksekutif Alphabet, Sundar Pichai dan Tim Cook dari Apple yang kedua-duanya memperoleh kira-kira AS$75 juta (RM328 juta) tahun lepas.
Kira-kira 94 peratus daripada pendapatan Niccol datang daripada anugerah saham, dengan majoriti terikat dengan metrik prestasi dan selebihnya terletak hak dalam tempoh tiga tahun.
Niccol, 50, yang menyertai Starbucks pada September 2023 dari Chipotle Mexican Grill, juga menerima bonus log masuk AS$5 juta (RM21.8 juta) hanya sebulan dalam peranannya, seperti yang didedahkan dalam pemfailan syarikat.
"Brian Niccol ialah pemimpin yang sangat dicari, berkesan dengan rekod prestasi yang terbukti," kata syarikat itu dalam pemfailannya, lapor Bloomberg.
Ketibaan Niccol menyusuli tempoh yang mencabar buat Starbucks susulan penyingkiran Ketua Pegawai Eksekutifnya sebelum ini, Laxman Narasimhan yang berdepan dengan penurunan jualan.
Sepanjang Starbucks diketuai Narasimhan, syarikat itu menghadapi pelbagai isu termasuk persaingan dari pesaing kos rendah di China dan boikot di Timur Tengah serta kawasan lain akibat sokongan Starbucks yang dianggap memihak kepada Israel.
Sejak lima tahun yang lalu, saham Starbucks telah hilang kira-kira 20 peratus daripada nilainya, manakala pasaran luas S&P 500 telah meningkat lebih daripada 80 peratus.
Pada bulan Julai, syarikat itu gagal memenuhi jangkaan jualan akibat permintaan yang semakin berkurang di Amerika dan China.
Berkisar tentang keistimewaan yang diperoleh Niccol, beliau tidak perlu berpindah ke Seattle iaitu lokasi ibu pejabat Starbucks.
Starbucks juga bersetuju untuk menampung kos perumahan sementara Niccol serta penggunaan jet syarikat untuk beliau.
Pemfailan di bursa saham menunjukkan Starbucks membayar lebih AS$143,000(RM626,000) untuk perbelanjaan perumahan Niccol dengan kira-kira separuh daripadanya adalah pembayaran berkaitan cukai.
Niccol juga membelanjakan kira-kira AS$72,000 (RM312,216) untuk penerbangan ulang alik antara rumahnya di selatan California dan Seattle. – AGENSI
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
