UMNO Hulu Langat bantah penjualan bangunan UMNO Selangor

Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Hulu Langat yang diadakan semalam.
Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Hulu Langat yang diadakan semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Hulu Langat sebulat suara membantah penjualan bangunan UMNO di Persiaran Perbandaran, Seksyen 14 di sini.

Ketua Sekretariat Badan Bertindak Selamatkan Bangunan UMNO Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kasim berkata, mesyuarat diadakan semalam juga menyatakan pendirian tidak menyokong tindakan UMNO Selangor mengambil jalan mudah dalam penyelesaian kemelut kewangan parti.

"UMNO Hulu Langat menyarankan UMNO negeri memilih opsyen dua iaitu dengan menjual lapan unit kilang dua tingkat dan empat unit rumah kedai tiga tingkat di Taman Samudera Gombak.

"Atau pilihan tiga dengan menjual bangunan UMNO Selangor di Jalan Ipoh seperti yang dibentangkan dalam mesyuarat UMNO lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khamis lalu, satu sidang media Selamatkan Bangunan UMNO Selangor diadakan di pekarangan bangunan itu menggesa usul penjualan bangunan UMNO itu dibawa dalam mesyuarat peringkat cawangan dan bahagian yang bermula 15 Februari lalu.

Ia sebagai desakan kepada UMNO Selangor mengkaji semula penjualan bangunan tersebut susulan perkara itu tidak mendapat keputusan sebulat suara daripada semua wakil ketua bahagian.

Badan Bertindak Selamatkan Bangunan UMNO Selangor turut menggesa satu sekretariat penilai yang dipengerusikan oleh seorang ketua UMNO bahagian bukan dari anggota pengurusan mewakili akar umbi sebagai pengimbang keputusan penjualan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Jual bangunan UMNO Selangor hanya di peringkat cadangan

Artikel Berkaitan: