Jual bangunan UMNO Selangor hanya di peringkat cadangan

Laporan akhbar Sinar Harian pada 14 Disember. Gambar kecil: Mat Nadzari
Laporan akhbar Sinar Harian pada 14 Disember. Gambar kecil: Mat Nadzari
A
A
A

SHAH ALAM - Penjualan Bangunan UMNO hanya berada di peringkat cadangan dan belum dimuktamadkan.

Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, cadangan bagi penjualan bangunan itu sebelum ini telah dibincangkan di dalam mesyuarat khas melibatkan ketua-ketua bahagian di negeri ini.

Beliau berkata, susulan itu, Jawatankuasa Kewangan UMNO Selangor turut mengesyorkan beberapa cadangan termasuk 'cair dan beli harta' (contra deal) terbabit kepada pengurusan UMNO negeri berikutan kekangan kewangan ekoran pembekuan akaun oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang transaksi penjualan dibuat berikutan perkara itu perlu mendapat persetujuan dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri terlebih dahulu," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Mat Nadzari berkata, pembekuan akaun UMNO Selangor sebelum ini telah menyebabkan parti terpaksa mencari sumber kewangan lain bagi menampung bayaran tunggakan hutang.

Malah, beliau berkata, pengurusan parti juga amat memerlukan kedudukan kewangan yang stabil bagi melancarkan gerak kerja mendepani Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Disebabkan itulah timbulnya cadangan bagi penjualan ini bagi membantu pergerakan parti namun keputusan muktamad hanya akan dibincangkan dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jamal batal hasrat kaveat bangunan UMNO Selangor

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mat Nadzari juga turut menyokong hasrat murni Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang ingin membantu membuat kutipan dana di seluruh Selangor bagi membantu parti ini.

"Cadangan Datuk Jamal bagi membuat kutipan itu amat tepat pada ketika ini bagi membantu parti," katanya.

Sebelum ini, Jamal membantah cadangan pimpinan tertinggi parti itu di peringkat negeri yang berhasrat untuk menjual bangunan berkenaan.

Beliau berkata, walaupun UMNO Selangor berdepan masalah kewangan berikutan akaun parti itu yang dibekukan sebelum ini namun langkah bagi penjualan bangunan tersebut adalah tidak wajar dan perlu dielakkan.

Malah, Jamal memaklumkan beliau sanggup mengelilingi negeri ini untuk mengutip dana dengan membawa tabung daripada melihat bangunan itu dijual.