X

Kindly register in order to view this article
!

Ada perkara lain lebih penting daripada pertikaian peralihan kuasa

A
A

HARI ini merupakan hari bersejarah buat Pakatan Harapan (PH) kerana buat pertama kali pada tahun 2020, tahun yang digambarkan sebagai tahun kemunculan kereta terbang, Majlis Presiden PH mengadakan mesyuarat pimpinan tertinggi mereka.

Kali terakhir Majlis Presiden bertemu adalah pada November tahun lalu. Apa yang menarik, mesyuarat yang berlangsung di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya itu dijangka menentukan hala tuju pelayaran kapal PH selepas menempuh taufan kategori lima sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mesyuarat itu menjadi tumpuan umum kerana desas-desus mengatakan pertemuan itu akan memeterai tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika tarikh peralihan kuasa dapat ditentukan, sudah pasti ia perkembangan yang amat baik buat negara sekali gus menamatkan polemik politik yang sudah pun berpanjangan.

Mungkin juga mesyuarat Majlis Presiden PH itu menghasilkan keputusan yang tidak kita jangka sama sekali. Jangan dilupa, selain membincangkan jawatan Perdana Menteri, jawatan Timbalan Perdana Menteri juga perlu diputuskan.

Tidak mungkin dua jawatan tertinggi dalam kerajaan Persekutuan dipegang oleh pasangan suami isteri. Lagipun Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah pun mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sedia berundur jika Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu peralihan kuasa bakal terjawab hari ini

Pemimpin perlu sentiasa meletakkan kestabilan politik dalam apa jua tindakan mereka kerana banyak perkara seiring dengannya seperti ekonomi, sosial dan keselamatan negara. Rakyat tidak mahu cakap-cakap mengenai peralihan kuasa mengganggu perjalanan kerajaan. Jika kerajaan tempang, sudah pasti negara menerima kesannya.

Bagaimana pula jika perkara sebaliknya yang berlaku? Adakah suasana politik negara semakin panas? Dengan isu virus Covid-19 yang saban hari semakin teruk di seluruh dunia, pemimpin PH yang juga pemerintah Malaysia perlu mengutamakan fokus mereka kepada perkara yang lebih penting.

Begitu juga dengan pergerakan ekonomi negara. Kerajaan perlu memastikan ekonomi Malaysia dalam keadaan baik.

Umum mengetahui Dr Mahathir sudah beberapa kali mengulangi janjinya akan menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas penganjuran sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia (APEC) 2020 pada November ini. Anwar pun sudah mengeluarkan kenyataan supaya isu itu dihentikan dan memberi peluang kepada Dr Mahathir mentadbir negara. Jadi apa lagi isunya?

Mungkin cakap-cakap orang politik ini susah nak dipercayai. Kalau kata selepas APEC, satu atau dua tahun selepas itu pun boleh dikira selepas APEC. Mungkin itu yang menyebabkan beberapa pemimpin dalam PH sendiri tidak senang duduk.

Apapun, semoga peralihan kuasa Perdana Menteri dapat dijalankan dengan lancar dan teratur. Sekarang adalah masa untuk Malaysia mengorak langkah menjadi negara maju. Maju dalam serba serbi, ekonomi, sosial, sukan, fasiliti dan sudah semestinya politik. Tidak mahu lagi gaduh-gaduh!


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!